SHAH ALAM, 30 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak boleh mengenakan larangan secara menyeluruh terhadap pemilik haiwan peliharaan di unit kediaman persendirian menerusi peraturan dalaman.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, yang mewakili Noraseela Mohd Khalid, menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian daripada permohonan bekas atlet lari berpagar tersebut terhadap JMB Kondominium Shang Villa.
Mereka berkata mahkamah memutuskan bahawa Peraturan Dalaman 9.0 tidak boleh digunakan untuk menghalang Noraseela daripada memelihara tiga kucing di unit kediamannya, dan kehadiran haiwan berkenaan tidak menyebabkan berlaku sebarang pelanggaran.
Kedua-dua peguam berkata sebarang tindakan penguatkuasaan pula hendaklah dibuat berdasarkan Undang-Undang Kecil 14 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015 serta disokong oleh bukti.
Menurut kenyataan itu, mahkamah turut mendapati aduan umum tidak mencukupi kerana bukti yang dikemukakan tidak menunjukkan bahawa kucing-kucing milik Noraseela menjadi punca kepada insiden yang dibangkitkan oleh JMB.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa mahkamah turut mengisytiharkan bahawa sebahagian daripada peruntukan di bawah Peraturan Dalaman 9.0, yang membolehkan haiwan peliharaan dialihkan dari kawasan harta bersama tanpa merujuk kepada pemiliknya serta mengecualikan liabiliti bagi sebarang kerugian yang timbul, sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
“Keputusan ini mengesahkan bahawa JMB tidak boleh melangkaui undang-undang... peraturan dalaman tidak boleh digunakan untuk memintas perlindungan yang termaktub dalam undang-undang atau mewujudkan kuasa yang tidak diberikan oleh perundangan tersebut.
“Undang-undang bertujuan mengawal tindakan yang tidak bertanggungjawab namun ia tidak memberi kuasa untuk mendiskriminasi pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.
“Aduan yang sah mengenai haiwan perlu ditangani dan keputusan ini sama sekali tidak menghalang perkara itu namun pihak pengurusan hendaklah bertindak berdasarkan bukti, bukan berdasarkan andaian bahawa setiap haiwan peliharaan adalah satu gangguan,” menurut kenyataan itu.
Noraseela, yang mencabar kesahihan Peraturan Dalaman 9.0, mendakwa ia bercanggah dengan Akta Pengurusan Strata 2013 atas alasan melangkaui kuasa yang diperuntukkan.
-- BERNAMA







