JAIS siasat hantaran tular individu Islam lakukan ritual agama lain

11 Okt 2026, 1:09 AM
JAIS siasat hantaran tular individu Islam lakukan ritual agama lain

SHAH ALAM, 11 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulakan siasatan berhubung hantaran tular yang didakwa memaparkan individu beragama Islam melakukan ritual agama lain yang menyalahi hukum syarak.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak serta menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada kejadian itu berlaku ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves seperti yang ditularkan di media sosial.

“Setakat ini, pihak JAIS masih belum dapat mengesahkan bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh individu berkenaan semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor seperti mana yang ditularkan.

“Pihak JAIS juga tidak menolak keberangkalian hantaran tersebut melibatkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan bertarikh 10 Oktober.

Mohd Shahzihan berkata beberapa fakta kes termasuk lokasi kejadian akan disiasat segera bagi menentukan bidang kuasa JAIS sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Menurutnya, jabatan itu memandang serius perkara yang menyentuh akidah umat Islam di Selangor dan akan memastikan setiap maklumat atau aduan disiasat secara profesional, tegas, cepat, tepat serta adil.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.