SHAH ALAM, 30 OKT: Tiga kanak-kanak etnik Rohingya warga Myanmar didakwa atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berusia 71 tahun, minggu lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di alamat 23, Tingkat Binjai Empat Belas, Taman Sri Rambai, Bukit Mertakam kira-kira jam 6 petang, 22 Oktober lalu, lapor Berita Harian.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 11 hingga 12 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan buat kali kedua di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mereka didakwa secara bersama mengugut untuk mencederakan wanita warga emas itu menggunakan beberapa objek, termasuk mop, batang besi, lampu kalimantang putih dan batu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, selain meminta dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya kanak-kanak berkenaan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu serta melarang mereka dan keluarga masing-masing menghubungi atau mengganggu mangsa.
"Mahkamah perlu mengambil kira bahawa kesalahan yang didakwa itu membabitkan ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas yang juga jiran mereka," katanya.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain yang mewakili kanak-kanak terbabit, memohon supaya jaminan diberikan dengan mengambil kira usia mereka yang masih muda serta keadaan keluarga masing-masing.
Beliau memaklumkan dua daripada kanak-kanak itu masih bersekolah, manakala seorang lagi yang berusia 11 tahun tidak bersekolah.
"Dua daripada ibu tertuduh ialah suri rumah, manakala seorang lagi bekerja di kilang. Bapa mereka pula bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM100 sehari," katanya.
Mahkamah menolak permohonan jaminan dan menetapkan 10 November ini untuk penyerahan dokumen serta pelantikan jurubahasa Myanmar bagi membacakan semula pertuduhan kepada mereka.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu bersama ibu bapa masing-masing dilihat menangis teresak-esak di dalam kamar mahkamah selepas permohonan jaminan ditolak.
Pada 27 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah terhadap seorang wanita berusia 71 tahun di Taman Sri Rambai.
Kejadian dipercayai berlaku pada 22 Oktober lalu selepas wanita itu menegur sekumpulan kanak-kanak yang membuat bising ketika bermain di taman permainan berhampiran.
Wanita berkenaan kemudian dibaling batu dan batang besi. Walaupun tidak mengalami kecederaan, mangsa ketakutan susulan kejadian itu sebelum membuat laporan polis.







