SHAH ALAM, 12 OKT: Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kawasan Selangor Greater Klang Valley (SGKV) akan menjadi tumpuan awal kaji selidik prestasi dan kepuasan rakyat sebelum pelaksanaannya diperluas ke seluruh Selangor.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata, peringkat awal itu membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Peringkat awal kita beri tumpuan kepada SGKV iaitu Bandar Raya Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Bandar Diraja Klang.
“Kemudian pada peringkat kedua, semua 12 PBT akan diadakan kaji selidik bagi melihat prestasi dan sistem penyampaian serta kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.
Menurut beliau, sebarang kelemahan yang dikenal pasti menerusi kaji selidik berkenaan akan diberi perhatian bagi memastikan mutu perkhidmatan PBT terus dipertingkat.

“Kalau lemah, kita akan perbaiki dan kita akan ambil tindakan apa yang boleh kita perbaiki dengan lebih baik.
“Kita nak pastikan rakyat sentiasa puas hati dan sentiasa bangga dengan perkhidmatan PBT di negeri Selangor,” ujarnya.
Sebelum ini, Suee Lim memaklumkan Kerajaan Negeri sedang membuat persiapan untuk melantik badan bebas bagi melaksanakan kaji selidik berkenaan seawal tahun depan.
Tinjauan itu akan membabitkan pengguna, pembayar cukai dan rakyat, dengan kaedah penilaian mengambil kira perbezaan kategori serta skop pentadbiran setiap PBT.
Badan bebas yang dilantik akan menentukan mekanisme tinjauan termasuk penyediaan soalan, pemilihan sampel dan indikator bersesuaian bagi memastikan penilaian dibuat dengan tepat.
Kerajaan Negeri juga bersedia menubuhkan pasukan petugas bagi membantu PBT yang gagal mencapai indikator ditetapkan, termasuk memperbaiki kelemahan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.








