
SHAH ALAM, 28 OKT: Peruntukan pembasmian kemiskinan dalam Belanjawan Selangor 2027 diharap ditingkatkan bagi memperluas bantuan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata penambahan peruntukan penting bagi membantu lebih ramai rakyat meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kemiskinan.
“Kita berharap peruntukan pembasmian kemiskinan dapat ditingkatkan supaya lebih ramai golongan yang memerlukan menerima manfaat, bukan sahaja melalui bantuan kewangan, tetapi juga peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, antara inisiatif yang perlu diperkukuh ialah Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) dan Blueprint yang menyediakan bantuan peralatan serta sokongan ekonomi mengikut keperluan penerima.
Papparaidu turut mahu program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta JobCare diperluas bagi meningkatkan kebolehpasaran rakyat, termasuk dalam bidang berkemahiran tinggi seperti aeroangkasa.
“Pembasmian kemiskinan tidak boleh bergantung kepada bantuan semata-mata. Kita perlu membantu rakyat memperoleh kemahiran, mendapatkan pekerjaan dan membina sumber pendapatan yang lebih konsisten untuk jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap nilai Baucar Deepavali RM200 dapat ditingkatkan tahun depan, tertakluk kepada kemampuan kewangan negeri.
Menurutnya, sebanyak RM5.4 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan bantuan itu tahun ini, melibatkan kira-kira 24,000 baucar bernilai RM200 setiap satu.
“Bantuan seperti baucar perayaan amat bermakna dalam membantu meringankan perbelanjaan keluarga. Kita berharap bantuan ini dapat terus diperkukuh mengikut kemampuan kewangan negeri supaya lebih ramai penerima mendapat manfaat,” katanya.







