Hujan lebat di utara Semenanjung hingga awal Disember

29 Okt 2026, 8:57 AM
Hujan lebat di utara Semenanjung hingga awal Disember
Hujan lebat di utara Semenanjung hingga awal Disember

SHAH ALAM, 29 OKT: Hujan lebat di utara Semenanjung termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak dijangka berterusan hingga awal Disember sebelum cuaca bertukar panas dan kurang hujan akibat fenomena Super El-Nino.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata negeri di utara Semenanjung lazimnya menerima taburan hujan tinggi sebelum bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) sehingga penghujung tahun.

"Dengan kehadiran fenomena Super El-Nino pada MTL kali ini, hujan lebat berterusan di negeri-negeri utara dijangka berlaku sehingga awal Disember 2026 sahaja.

"Selepas itu, cuaca di sana dijangka kurang hujan dan panas.

"Sabah pula dijangka menerima kesan paling ketara akibat fenomena Super El-Nino apabila taburan hujan diramalkan menyusut sehingga 40 peratus berbanding nilai purata," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Bagaimanapun, Mohd Hisham mengingatkan bahawa pengurangan jumlah hujan tidak bermakna risiko banjir dan kejadian cuaca ekstrem dapat diketepikan sepanjang musim berkenaan.

Menurutnya, kejadian luruan sejuk dan fenomena Borneo vortex masih berpotensi mencetuskan hujan ekstrem yang boleh mengakibatkan bencana di kawasan tertentu.

"Walaupun jumlah hujan keseluruhan dijangka lebih rendah di beberapa kawasan berikutan kehadiran fenomena Super El-Nino ini, namun episod hujan ekstrem masih boleh berlaku dan menyebabkan banjir serius di kawasan tertentu.

"Gabungan sistem cuaca ini berpotensi meningkatkan risiko banjir, tanah runtuh, angin kencang dan laut bergelora," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan METMalaysia bagi menghadapi kemungkinan kejadian cuaca ekstrem.

Maklumat terkini boleh diperoleh menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi METMalaysia atau talian 1-300-22-1638.

Terdahulu, media melaporkan kawasan rendah di pantai barat Semenanjung, khususnya Kedah dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan di Sabah berisiko mengalami banjir sepanjang MTL yang dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas akibat hujan lebat pada 26 dan 27 Oktober lalu termasuk Yan, Kuala Muda dan Pendang di Kedah, kawasan rendah di Pulau Pinang serta Penampang, Sabah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.