SHAH ALAM, 22 OKT: Kerja mengorek dan mendalamkan Sungai Klang mula memberi kesan positif apabila kejadian banjir dilaporkan berkurangan.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir. Izham Hashim berkata projek tersebut dilaksanakan sejak dua tahun lalu bagi meningkatkan kapasiti aliran sungai, membabitkan jajaran sepanjang 54 kilometer.
Jelas beliau, kerja mendalamkan Sungai Klang yang disasarkan siap dalam tempoh lima tahun berpotensi disiapkan lebih awal menerusi pelaksanaan beberapa projek berkaitan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan di kawasan sama.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan beberapa projek di bahagian sungai ini. Jadi, saya yakin kita boleh menyiapkannya dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun lagi. Projek yang diluluskan itu juga akan membantu pelaksanaan kerja sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Bengkel Friends of Rivers (FOR) Negeri Selangor 2026 di Selangor International Trade Center (SITC), Shah Alam hari ini.
Beliau berkata kerja-kerja mendalamkan sungai itu meningkatkan kapasiti sungai sebanyak 25 peratus dan pembinaan tebing sungai menggunakan teknologi Schematic Precast System (SPS) antara usaha meningkatkan kapasiti sungai untuk menampung aliran air, khususnya ketika hujan lebat bagi mengelakkan banjir.
"Saya sudah mula kesan positif pengurangan masalah banjir akibat peningkatan keupayaan sungai menakung air sekarang lebih banyak," katanya.
Sebelum ini kerja- kerja pengorekan itu dilaksanakan berikutan lambakan sampah dan mendapan lumpur yang terlalu banyak sehingga paras air Sungai Klang tinggal kira-kira satu meter sahaja berbanding kedalaman asal empat meter.
Jelasnya, Kerajaan Negeri menerusi projek bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG) kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) melakukan kerja pengorekan Sungai Klang bermula dua tahun lalu.
Pada April lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata kerja pengorekan Sungai Klang sepanjang 54KM itu berjaya meningkatkan kapasiti sungai sebanyak 20 peratus.










