SHAH ALAM, 2 NOV: Hujan lebat petang ini menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Selangor, dengan sejumlah laluan dilaporkan dinaiki air.
Antara kawasan terjejas berdasarkan perkongsian pengguna media sosial ialah Denai Alam, Puncak Alam, Sungai Buloh, Saujana Utama, Subang dan Damansara Uptown.
Di Denai Alam, beberapa pengguna jalan raya dilaporkan terpaksa berpatah balik selepas laluan menuju kawasan berkenaan dinaiki air.
Pengguna Threads, @iskandarsukandar berkongsi keadaan kenderaan yang berpatah balik dan bergerak melawan arus susulan kejadian itu.
"Apa jadi kat Denai Alam? Semua orang patah balik lawan arus. Denai Alam banjir ke?" katanya menerusi hantaran di Threads.

Seorang lagi pengguna, @kiti.ss memaklumkan pemandu yang memasuki Denai Alam dari arah Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) turut terpaksa berpatah balik.
"Lepas je dari lampu isyarat nak masuk Denai dari DASH ni kena patah balik ya. Hati-hati semua," katanya.
Sementara itu, pengguna @afiff_15 berkongsi rakaman jalan dinaiki air dari arah Johawaki menuju ke stesen minyak Caltex Denai Alam.
Di Puncak Alam, beberapa laluan turut dilaporkan dinaiki air, termasuk berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana dan Jalan Mokhtar Dahari menuju ke kawasan berkenaan.
Pengguna media sosial turut menasihatkan pemandu supaya menggunakan laluan DASH bagi memasuki Puncak Perdana.
Keadaan sama dilaporkan berlaku di Sungai Buloh, khususnya berhampiran sebuah kuil di Jalan Paip, selain kawasan Elmina Green bersebelahan Saujana Utama 3 dan sekitar Anggerik Garden, Saujana Utama.
Di Damansara Uptown, jalan berhampiran pusat beli-belah The Starling turut dilaporkan dinaiki air sehingga menjejaskan pergerakan kenderaan.

Sementara itu, kawasan berhampiran Proton di Subang turut dilaporkan dinaiki air manakala hujan lebat berserta angin kencang berlaku di USJ 9.
Keadaan jalan dinaiki air turut dikongsikan pengguna media sosial di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Amcorp Mall, Petaling Jaya.
Selain Selangor, beberapa kawasan Kuala Lumpur turut dilaporkan dilanda banjir kilat, termasuk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Bukit Jalil.
Di Bukit Jalil, pengguna @cik_kiyut berkongsi keadaan jalan yang mula dinaiki air ketika dalam perjalanan menuju ke Puchong.
"Jalan dah mula dinaiki air. Semoga dipermudahkan segala urusan semua dan selamat sampai destinasi, Amin. Bukit Jalil dalam perjalanan ke Puchong," katanya.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak meredah laluan dinaiki air bagi mengelakkan risiko kemalangan.









