SHAH ALAM, 21 APRIL: Selangor mengguna pakai pelbagai teknologi pengurusan air moden dari negara maju bagi menangani masalah banjir, namun keberkesanannya terhad berikutan perbezaan faktor geografi dan cuaca.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata teknologi dari negara seperti Belanda, China dan Jerman yang diguna pakai perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan, termasuk faktor hujan dan kepadatan pembangunan.
Menurut beliau, taburan hujan tahunan yang jauh lebih tinggi berbanding negara seperti Belanda menjadikan keperluan infrastruktur pengurusan air di Selangor lebih mencabar.
“Sebagai contoh, negara seperti Belanda menerima sekitar 700 hingga 900 milimeter hujan setahun, sedangkan Selangor mencecah kira-kira 3,000 milimeter, hampir empat kali ganda,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Izham berkata Kerajaan Negeri turut menilai dan menyesuaikan teknologi dari China bagi pembangunan bandar pintar di Sabak Bernam serta sistem dari Jerman di Hulu Selangor.
Menurutnya, semua pendekatan itu perlu diselaraskan dengan keperluan tempatan bagi memastikan keberkesanan sistem pengurusan air dalam jangka panjang.

Dalam masa sama, katanya, pembangunan pesat di kawasan bandar turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat apabila kawasan hijau yang berfungsi menyerap air semakin berkurangan.
“Di kawasan bandar, air hujan akan terus mengalir ke longkang dan sungai kerana kurang kawasan hijau untuk menyerap air.
“Disebabkan itu, antara penyelesaian utama bagi banjir kilat adalah penyediaan kolam takungan bagi menahan air sebelum dilepaskan secara terkawal,” ujarnya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri kini mengenal pasti ratusan kolam sedia ada untuk dimanfaatkan sebagai takungan tambahan.
“Ketika ini terdapat lebih 600 kolam sedia ada di seluruh Selangor termasuk kira-kira 185 kolam dikenal pasti berpotensi untuk dioptimumkan sebagai kolam takungan,” katanya.
Sementara itu, Izham berkata projek tebatan banjir bernilai RM4 bilion di Selangor sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat.
“Projek ini mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun untuk disiapkan kerana melibatkan kajian hidrologi, reka bentuk serta pengambilan tanah,” katanya.
Semalam ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan terhadap masalah banjir yang masih berulang di negeri ini walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini.








