SHAH ALAM, 12 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperkenalkan jenama Ehsan kepada masyarakat menerusi penganjuran Ehsan Unity Hunt 2026 “Kita Malaysia”.
Menghimpunkan 256 peserta daripada kategori terbuka dan media, program yang julung kali diadakan itu memberi peluang kepada peserta mengenali jenama, produk serta operasi PKPS menerusi aktiviti santai dan mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata penganjuran program itu merupakan usaha pihaknya mendekati masyarakat, selain memberi pengalaman berbeza kepada peserta.
“Program yang diadakan ini bukan sekadar sebuah aktiviti santai dan rekreasi, tetapi menjadi platform untuk kita mendekati komuniti, memperkenalkan jenama Ehsan dan pada masa sama mengeratkan hubungan dengan rakan media serta rakan strategik.
“Kita mahu peserta dapat merasai sesuatu yang berbeza, di samping berpeluang mengenali lokasi operasi PKPS dan produk Ehsan melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mencabar,” katanya.

Ehsan Unity Hunt 2026 menggabungkan konsep Treasure Hunt dan Amazing Race yang memerlukan peserta menyelesaikan 13 aktiviti di lima lokasi berbeza.
Antara lokasi terlibat termasuklah Wisma PKPS, Decathlon Shah Alam, Ehsan Mart Seksyen 9, Pasar Borong Selangor dan Selangor Fruit Valley.
Konsep berkenaan memberi peluang kepada peserta meneroka lokasi terpilih sambil menyelesaikan tugasan yang dirangka secara berkumpulan, sekali gus menjadikan pengenalan jenama Ehsan lebih dekat dengan pengalaman peserta.

Program itu turut mendapat sokongan rakan strategik dan penaja termasuk Ombak Exclusive, Glamfit, Selangor FC, Decathlon, Extra Joss, Pierre Cardin, TM Tours, Grand Dorsett Subang, Ainita Travel, Mardiyyah Hotel, Synchronetwork, Century Software dan FK Technology.
Penganjuran Ehsan Unity Hunt 2026 “Kita Malaysia” menjadi antara usaha PKPS meneroka kaedah kreatif dalam memperkenalkan jenama Ehsan, selain mendekatkan produk dan operasinya kepada masyarakat menerusi pengalaman yang lebih interaktif.







