KLANG, 28 OKT: Pemberian makanan tambahan percuma menerusi Program Mega Nutrisi Selangor (NutriSel) bukan sahaja menggembirakan murid sekolah di negeri ini, malah membantu memenuhi keperluan nutrisi mereka sepanjang sesi persekolahan.
Kegembiraan itu dikongsi Syasya Norkamila, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Klang, yang juga penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Menurut Syasya, makanan yang diterima bukan sahaja berkhasiat dan mengenyangkan, malah beliau berharap program itu diteruskan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Seronok sebab dapat makanan percuma, berkhasiat dan kenyang.
“Saya harap program ini dapat diteruskan untuk membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada Media Selangor.
Seorang lagi murid, Ammar Qayyum, 12, turut menyambut baik pemberian makanan tambahan itu dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif berkenaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mengadakan NutriSel. Saya suka sebab dapat makanan seperti susu dan roti yang sedap serta penuh khasiat.

“Saya harap inisiatif ini dapat diteruskan lagi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Johary Anuar berkata Mega NutriSel merupakan kesinambungan program NutriSel yang diperluas kepada semua murid sekolah di Selangor.
Menurutnya, inisiatif itu turut membantu murid yang tidak sempat bersarapan sebelum ke sekolah supaya mendapat nutrisi mencukupi untuk mengikuti sesi pembelajaran.
“Program Mega NutriSel ini melibatkan semua pelajar sekolah di Selangor dan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan serta keperluan nutrisi mereka diberi perhatian.

"Kita juga adakan kerjasama bersama Farm Fresh dalam pengagihan roti dan susu kotak kepada pelajar. Jadi saya harap akan ada lebih banyak lagi penglibatan sektor swasta dalam program ini supaya dapat beri lebih banyak manfaat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Mega NutriSel kepada murid SK Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Mega NutriSel 2026 memberi manfaat kepada 993,670 murid daripada 962 sekolah di seluruh Selangor menerusi pengagihan pakej makanan tambahan termasuk roti dan susu UHT.
Program tambahan kepada NutriSel itu dilaksanakan secara sekali beri (one-off) bermula 27 Oktober hingga 6 November ini.









