HULU SELANGOR, 1 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.1 juta tahun ini bagi kerja baik pulih tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Baru Hicom, Kota Damansara dan Serendah.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kemudahan perumahan sedia ada sentiasa diselenggara dan ditambah baik demi kesejahteraan penghuni.
"Komitmen ini membuktikan bahawa usaha Kerajaan Negeri tidak terhenti setakat menyediakan kediaman kepada rakyat, tetapi turut merangkumi tanggungjawab memastikan kemudahan perumahan sedia ada terus dipelihara dan ditambah baik demi kesejahteraan penghuninya.
"Selain memberi perhatian kepada penyelenggaraan dan kerja kerja baik pulih PPR sedia ada, Kerajaan Negeri turut memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dalam usaha memperluas penyediaan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rewang Komuniti Strata di Pangsapuri Seri Kiambang (PPR Serendah) di sini, malam tadi.
Menurutnya, antara usaha yang sedang dilaksanakan bagi memperluas penyediaan perumahan rakyat termasuk pembangunan Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI di Bestari Jaya serta perancangan projek PRR di Dengkil, Sepang.
Selain itu, beliau berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengambil alih pengurusan PPR Lembah Subang 1 daripada KPKT berkuat kuasa 1 April lalu bagi memastikan pengurusan perumahan rakyat lebih cekap, sistematik dan berkesan.

Sementara itu, Program Rewang Komuniti Strata yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2024 menjadi platform memperkukuh hubungan kejiranan dan menghidupkan budaya gotong-royong dalam kalangan penduduk.
Program itu turut membuka ruang kepada jabatan dan agensi kerajaan untuk mendekati masyarakat serta menyampaikan perkhidmatan secara langsung.
Bertemakan "Sehati Bersama Rakyat", program berkenaan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk sukaneka untuk kanak-kanak, golongan dewasa dan warga emas, gotong-royong serta penyediaan makanan secara rewang.
Turut diadakan program Ziarah Kasih bagi menyantuni keluarga dan meninjau keadaan kehidupan penduduk setempat.








