HULU SELANGOR,14 DIS: Program Rewang Komuniti Strata yang diteruskan tahun hadapan dijangka diperluas ke beberapa komuniti supaya lebih ramai masyarakat terima manfaat, kata EXCO perumahan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata konsep pelaksanaan program tersebut juga akan ditambah baik antaranya dengan membuka kaunter agensi berkaitan untuk kemudahan rakyat membuat pemeriksaan.
“Saya memang bercadang untuk tahun depan program ini ditambah baik dengan membuka kaunter seperti Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya penduduk boleh buat pemeriksaan kelayakan.
“Bagi kawasan pelaksanaan pula, mungkin kita tambah lagi lokasi penganjuran kerana banyak lagi komuniti strata yang perlu dikunjungi. Kita berharap semua pihak termasuk wakil rakyat boleh beri kerjasama.

“Manakala Ziarah Kasih juga mungkin kita tambah jumlah kediaman untuk dilawati supaya rakyat terus disantuni selain keprihatinan dalam memberi sokongan kepada mereka yang sakit,” katanya ditemui pada Ziarah Kasih sempena program rewang hari ini.
Semalam, Hulu Selangor menjadi lokasi terakhir penganjuran Program Rewang Komuniti Strata bagi tahun ini yang mana sebelum ini telah dilaksanakan di Dengkil dan Lembah Jaya.
Dianjurkan selama dua hari di Tapak Penjaja Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, penduduk boleh mengemukakan pandangan berhubung keperluan pangsapuri sama ada melibatkan insentif, inisiatif mahupun program yang ingin dilaksanakan.
Pada 14 November lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Program Rewang Komuniti Strata bertemakan “Rewang Komuniti Ke Arah Kelestarian Komuniti Pangsapuri” diteruskan pada 2026 dengan peruntukan RM2 juta.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, program berkenaan dijadualkan berlangsung di gugusan pangsapuri berbeza dengan penglibatan agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan bagi meneliti secara dekat isu serta keperluan penduduk strata.






