SHAH ALAM, 13 OKT: Kajang, Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam antara kawasan tumpuan Kerajaan Negeri bagi penyediaan kediaman menerusi Skim Smart Sewa berikutan permintaan tinggi di lokasi berkenaan.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata Selangor kini mempunyai hampir 3,000 unit kediaman di bawah skim itu yang memberi peluang kepada rakyat belum memiliki rumah sendiri untuk menyewa sehingga lima tahun.
"Kita memang ada unit yang diperoleh daripada sumbangan ataupun kontra melalui pembangunan rumah mampu milik.
"Ada juga kawasan yang belum mempunyai Smart Sewa, jadi kita beli unit daripada pemaju untuk dijadikan rumah sewa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Perumahan Kebangsaan yang menghimpunkan agensi perumahan dari lapan negeri di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata penyewa yang masih belum layak mendapatkan pinjaman perumahan selepas lima tahun boleh mengemukakan rayuan untuk melanjutkan tempoh sewaan antara dua hingga tiga tahun.

Menurutnya, peserta skim berkenaan turut menerima pulangan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih selepas menamatkan tempoh penyewaan bagi membantu menampung kos pembelian rumah sendiri.
"Kalau mereka menyewa selama lima tahun dengan jumlah RM30,000, kita pulangkan semula 30 peratus iaitu RM9,000.
"Wang itu boleh digunakan untuk membayar deposit, urusan perjanjian dan yuran guaman bagi membeli rumah," katanya.
Skim Smart Sewa merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat yang belum memiliki kediaman sendiri dengan tempoh sewaan minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, tertakluk kepada kelulusan lanjutan.
Berdasarkan rekod Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), hampir 90 peratus permohonan Rumah Selangorku yang diterima dari 2018 hingga April tahun ini melibatkan golongan muda.







