SHAH ALAM, 1 NOV: Dua peniaga Pasar Malam Taman Melawati dikenakan kompaun kerana gagal menyediakan tong sampah mencukupi dalam operasi penguatkuasaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Khamis lalu.
MPAJ memaklumkan sebanyak 175 premis peniaga diperiksa bagi memastikan pematuhan syarat lesen berkaitan penyediaan tong sampah.
Menurutnya, operasi oleh Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ itu dijalankan dari jam 6 petang hingga 10 malam dalam keadaan hujan.
"Hasil semakan mendapati dua kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 16 Establisymen Makanan MPAJ 2007 kerana gagal menyediakan tong sampah yang mencukupi," menurut kenyataan MPAJ di Facebook.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menasihatkan peniaga supaya menyediakan tong sampah berserta plastik sampah dan memastikan kawasan perniagaan sentiasa bersih.
MPAJ menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi memastikan kebersihan pasar malam terpelihara.







