AMPANG, 28 OGOS: Dua peniaga di Pasar Pagi Pandan Perdana dikenakan kompaun kerana tidak menyediakan tong sampah yang mencukupi.
Tindakan itu diambil Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan dalam operasi penguatkuasaan tong sampah peniaga pasar pagi, semalam.
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 21 premis peniaga diperiksa dalam operasi bermula 8.30 pagi itu bagi memastikan peniaga mematuhi aspek kebersihan serta syarat lesen perniagaan yang ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak dua tindakan kompaun dikenakan kepada premis perniagaan di bawah UUK 16, Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPAJ 2007 atas kesalahan tidak menyediakan tong sampah yang mencukupi,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, peniaga turut diberikan nasihat secara lisan supaya menyediakan plastik tong sampah yang mencukupi sepanjang aktiviti perniagaan serta memastikan kebersihan kawasan pasar pagi dan persekitaran sentiasa terjaga.
MPAJ berkata pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan syarat lesen serta aspek kebersihan dipatuhi.








