SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan sembilan kompaun hasil pemantauan syarat lesen di tiga lokasi perniagaan, semalam.
Daripada jumlah itu, lapan kompaun dikeluarkan di Laman Niaga MPAJ Pandan Jaya, manakala satu lagi di Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya.
Sementara itu, pemeriksaan di Laman Niaga MPAJ Pandan Jaya 8/8 mendapati semua pemilik gerai mematuhi syarat pelesenan dan tiada kompaun dikeluarkan.
Pemantauan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ itu turut meliputi aspek penggajian pekerja asing bagi memastikan peniaga mematuhi syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan.
MPAJ menerusi kenyataan di Facebook memberitahu pihaknya akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan berkala bagi memastikan peniaga mematuhi syarat lesen serta peraturan yang ditetapkan.







