Bot kargo bawa penumpang tanpa kebenaran ditahan di Pulau Ketam

1 Nov 2026, 7:40 AM
Bot kargo bawa penumpang tanpa kebenaran ditahan di Pulau Ketam

SHAH ALAM, 1 NOV: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot yang membawa penumpang dari Sungai Lima ke Pulau Ketam selepas didapati melanggar syarat perlesenan dan pengoperasian bot dalam pemeriksaan di perairan Pulau Ketam, semalam.

Bot berkenaan ditahan kira-kira jam 10.50 pagi pada kedudukan 0.1 batu nautika tenggara Pulau Ketam oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Ehsan, OpTiris 4.0 dan Op Khas Tanjung 2 Siri 1/2026.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun yang bertindak sebagai nakhoda.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut gagal mempamerkan lesen bot yang sah selain melanggar syarat perlesenan apabila kategori pengoperasiannya telah ditukar daripada bot kargo kepada bot penumpang.

Nakhoda bot juga didapati tidak memiliki kelayakan yang diperlukan untuk mengemudi bot berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 melibatkan kesalahan gagal mempamerkan lesen bot yang sah, melanggar syarat perlesenan dan pengoperasian bot serta tidak memiliki Sijil Perakuan Kekompetenan (Certificate of Competency– COC) yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Bot bersama nakhoda kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Selangor sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa setiap pengusaha bot wajib mematuhi syarat perlesenan, menggunakan bot mengikut kategori pengoperasian yang diluluskan serta memastikan individu yang mengemudi bot mempunyai kelayakan dan kompetensi yang ditetapkan.

Ketidakpatuhan terhadap peraturan ini bukan sahaja merupakan satu kesalahan undang-undang, malah boleh mengundang risiko kepada keselamatan penumpang dan pengguna perairan.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perkapalan serta pengangkutan penumpang di perairan negara dilaksanakan secara sah dan selamat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang atau berdepan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerusi talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.