SHAH ALAM, 27 OKT: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut, manakala tiga lagi rakan setugas cedera ketika menjalankan operasi di perairan Sungai Padang, Kangar, tengah malam tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang bertugas di Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam berlaku ketika mereka menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan, lapor Berita Harian.
Difahamkan pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh masa terdekat.
Ketika ini, ahli keluarga mangsa sedang berkumpul di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi menunggu urusan memandikan jenazah.
Difahamkan mangsa yang maut meninggalkan isteri dan dua cahaya mata berusia 14 dan 11 tahun.
Sementara itu, Ketua Pengarah serta seluruh warga APMM menerusi satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Roshaimi.








