Anggota Maritim Malaysia maut selepas bot rempuh konkrit ketika kejar PATI

27 Okt 2026, 10:34 AM
Anggota Maritim Malaysia maut selepas bot rempuh konkrit ketika kejar PATI
Anggota Maritim Malaysia maut selepas bot rempuh konkrit ketika kejar PATI

SHAH ALAM, 27 OKT: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut selepas bot peronda dinaikinya merempuh bongkah konkrit tinggalan jeti lama ketika mengejar bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Sungai Padang, Kangar malam tadi.

Mangsa, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dipercayai terhantuk pada bongkah konkrit selepas tercampak ke laut dalam kejadian jam 11.30 malam itu.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, tiga daripada lima anggota dalam bot peronda tercampak ke laut akibat pelanggaran berkenaan.

“Secara fizikalnya kita nampak dia mengalami kecederaan di bahagian kepala. Kemungkinan besar ketika tercampak, kepalanya terkena pada bongkah konkrit.

“Namun, punca sebenar kematian belum dapat disahkan kerana masih menunggu laporan bedah siasat hospital,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut Romli, operasi bermula kira-kira jam 8 malam susulan maklumat pencerobohan PATI di perairan Kuala Sanglang sebelum bot peronda mengesan sebuah bot berenjin sangkut yang mencurigakan kira-kira jam 11.30 malam.

“Ketika dibuat suluhan ke atas bot itu, kita dapati ia sarat dengan individu disyaki PATI yang cuba membolosi perairan menyebabkan anggota kita bertindak mengejar bot terbabit selama kira-kira 15 minit.

“Bot suspek cuba bertindak agresif dengan menghimpit bot Maritim. Dalam keadaan gelap itu, bot kita terlanggar bongkah konkrit tinggalan jeti lama di pesisir pantai Sungai Padang yang tenggelam ketika air pasang,” katanya.

Beliau berkata, anggota Maritim Malaysia tetap meneruskan usaha menahan bot terbabit meskipun bot peronda rosak, selain terpaksa melepaskan 10 das tembakan untuk mempertahankan diri.

Bot suspek akhirnya ditahan pada jam 11.45 malam bersama sembilan PATI warga Myanmar, terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.

Dalam operasi menyelamat dengan bantuan nelayan setempat, seorang anggota berusia 39 tahun yang patah tangan kanan ditemukan berpaut pada bongkah konkrit, manakala dua lagi anggota dilaporkan stabil.

Mohd Roshaimi pula ditemukan terapung pada jam 1.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan disahkan meninggal dunia.

Jenazahnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Kuala Nerang, Kedah.

Allahyarham meninggalkan isteri, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, serta dua anak berusia 14 dan 11 tahun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.