SHAH ALAM, 20 JAN: Sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor kira-kira 0.2 batu nautika barat Tanjung Harapan pada jam 5.30 petang semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata bot itu dikesan semasa rondaan rutin di perairan negeri.
Bot dikendalikan seorang lelaki 41 tahun sebagai nakhoda bersama dua kru berusia 26 dan 32 tahun.
“Ketiga-tiga individu berkenaan merupakan warga Myanmar dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan dokumentasi turut mendapati bot tersebut melanggar syarat sah lesen apabila nakhoda gagal mengemukakan lesen 500GT Domestic Trade Voyages, selain tidak memiliki buku pelaut bagi kru warga asing serta gagal mengaktifkan sistem Automatic Identification System (AIS),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, bot, nakhoda dan kru kemudiannya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komuniti maritim sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerusi talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


