Usaha menggilap bakat muda bola sepak negeri terus diperhebat melalui penganjuran Piala Jubli Perak Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membabitkan pemain berusia 15 tahun dan ke bawah.
Menurut pengerusi Jawatankuasa Penganjurnya, kejohanan itu membuka ruang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman dalam pertandingan dan mencipta laluan ke peringkat lebih tinggi.
Dato' Emran Kadir yang juga Orang Besar Daerah Petaling berkata pertandingan itu dijalankan susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang bertegas supaya bakat muda dicungkil.
“Ini bukan sekadar pertandingan bola sepak. Ia meneruskan hasrat Tuanku sejak 12 tahun lalu untuk menyediakan platform kepada anak-anak Selangor supaya bakat mereka dapat dicungkil dan dikembangkan.
“Pemain yang menyerlah boleh menjadi perhatian pasukan atau pihak berkaitan untuk diserap ke program pembangunan bola sepak, termasuk di luar Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
Emran memberitahu sebanyak 48 pasukan akan berentap selepas melalui saringan peringkat awal dengan penyertaan lebih 200 sekolah dari 10 daerah pendidikan.
Beliau menjelaskan pertandingan pada kali ini menggunakan konsep mirip Piala Dunia apabila 48 pasukan dibahagi kepada lapan kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada enam pasukan.
“Pemain muda bukan sahaja berpeluang bertanding, tetapi dapat merasai suasana pertandingan yang lebih mencabar.
“Ini penting kerana kita mahu mereka belajar mengendalikan tekanan, bermain secara kompetitif dan pada masa sama memberi peluang kepada pihak berkaitan menilai bakat yang berpotensi,” katanya.
Katanya, penganjuran kali ini menawarkan hadiah keseluruhan yang lebih lumayan iaitu johan membawa pulang RM12,000, naib johan (RM9,000), tempat ketiga (RM7,000) dan tempat keempat (RM5,000).
“Setiap 48 pasukan yang layak ke peringkat akhir turut menerima RM1,200 sebagai bantuan penyertaan.
“Selain insentif kewangan, semua 48 pasukan menerima set jersi lengkap, berbeza penganjuran terdahulu yang hanya menyediakan kemudahan itu kepada lapan pasukan terbaik,” kata Emran.
Beliau yang turut menguruskan kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari berkata aspek pembangunan diberi perhatian apabila hampir semua sekolah di Selangor memiliki guru atau jurulatih yang mengikuti kursus kejurulatihan.
“Kita sudah menganjurkan tiga siri kursus dan kira-kira 300 guru sudah mendapat latihan kejurulatihan. Kebanyakannya guru sukan di sekolah masing-masing.
“Jadi, kita bukan hanya menganjurkan pertandingan tetapi membina ekosistem supaya sekolah ada jurulatih terlatih yang boleh membangunkan pemain dari peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke pertandingan akhir kejohanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bermula jam 9 malam.
“Final dibuka kepada orang awam dan kita jangkakan kehadiran ramai penonton,” katanya.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual berangkat menyaksikan perlawanan.
Bagaimanapun, sebahagian perlawanan dalam kejohanan tersebut tertangguh ekoran masalah jerebu yang buruk bagi memastikan kesihatan pemain tidak terjejas.








