SUBANG, 1 OKT: Penganjuran kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Piala Raja Muda Selangor 2024 buat julung kalinya membabitkan penyertaan sekolah dari semua daerah di negeri itu bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu.
Pengerusi Kejohanan Piala Raja Muda Selangor 2024 Datuk Emran Kadir berkata langkah memperluas kejohanan itu, yang sebelum ini hanya melibatkan sekolah rendah dalam daerah Petaling, turut mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Saya telah mendapatkan restu baginda untuk pasukan yang menyertai kejohanan ini dikembangkan seluruh Selangor, cara yang kita laksanakan sama seperti Piala Datuk Mokhtar Dahari di mana dari 10 daerah pendidikan mengemukakan 32 pasukan," katanya ditemui pada Piala Sumbangsih Raja Muda Selangor di SMK USJ 23 di sini hari ini.
Piala Raja Muda Selangor edisi ke-35 yang akan bermula 7 Oktober hingga 6 November ini bakal menyaksikan 32 pasukan berentap melibatkan lapan kumpulan.
Dua pasukan teratas kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir dan akhir.
Terdahulu, Perlawanan Sumbangsih Piala Raja Muda Selangor 2024 menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam muncul pemenang selepas membelasah SK Seri Selangor 6-1 di sini hari ini.
Jaringan yang diperoleh juara bertahan itu dihasilkan menerusi Muhamad Irfan Nazarudin, Muhammad Umar Rizqi Mohd Hisham, Ahmad Faiq Furqan Ahmad Faisal, Mohd Thaqif Waiz Mohd Tajul dan dua jaringan menerusi Arif Nufail Ardika Budi.
Sementara Ahmad Darwish Ammar mencipta gol tunggal buat SK Seri Selangor.
Ketua jurulatih SK Seksyen 20 Nik Juhaidi Tarmizi Juhairi berkata kemenangan hari ini memberikan tonik tambahan buat pemainnya untuk mempertahankan kejuaraan.
“Bagaimanapun cabaran tetap sengit dengan penglibatan lebih banyak sekolah seluruh Selangor menjadikan kita sukar mempertahankan kejuaraan,” katanya.
- BERNAMA


