SHAH ALAM, 23 JUL: Pembangunan bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) yang dirancang tahun ini perlu disiapkan sebelum Disember bagi memastikan manfaatnya dinikmati rakyat mengikut jadual.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata agensi negeri perlu mempercepat gerak kerja bagi memastikan projek hasil peruntukan RM14 juta dimulakan 3 Ogos.
Mengakui pelaksanaan projek PSP yang dijadual bermula Mac terpaksa ditangguh ekoran konflik di Asia Barat, beliau berkata masih ada masa empat bulan untuk menjayakan projek tersebut.

"Kita hanya mempunyai kira-kira empat bulan untuk melaksanakan keseluruhan projek berbanding tempoh sekitar 11 bulan sebelum ini.
“Semua agensi perlu terus menekan gear lima sejak awal supaya segala isu diselesaikan segera dan projek disempurnakan dalam tahun semasa," katanya dalam sesi libat urus PSP di sini pada 21 Julai.
Peruntukan sebanyak RM250,000 disediakan kepada semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjalankan projek kategori naik taraf, baik pulih dan penyelenggaraan kemudahan awam.
PSP yang diperkenal sejak 2022 antara inisiatif Kerajaan Selangor bagi memastikan kemudahan awam berfungsi dengan baik. Dalam Pakej Daya Tahan Selangor, peruntukan RM14 juta disediakan.
Ahmad Fadzli menegaskan setiap cadangan projek perlu memberi keutamaan kepada keperluan masyarakat yang membawa kesan menyeluruh, berkualiti dan memberi manfaat jangka panjang.
"Kerajaan Negeri mahu setiap peruntukan diterjemah kepada projek yang benar-benar diperlukan rakyat. Pilih projek yang memberi manfaat besar kepada komuniti dan bukan sekadar menyiapkan projek mengikut peruntukan," katanya.
Beliau mengingatkan wakil rakyat dan pegawai penyelaras DUN supaya memainkan peranan mengenal pasti keutamaan rakyat di kawasan masing-masing, selain memantau pelaksanaan PSP.







