25 tahun pasak kemakmuran negeri

31 Okt 2026, 6:00 AM
25 tahun pasak kemakmuran negeri

Dua puluh lima tahun bukan masa singkat. Ia tempoh satu generasi baharu lahir dan membesar.

Sepanjang suku abad itu, pelbagai gelombang pancaroba menguji keteguhan negeri ini. Semuanya ditempuhi, dari kegawatan ekonomi, ketidaktentuan politik, bencana alam mahupun pandemik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menyifatkan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj antara faktor utama kestabilan negeri saat berdepan pelbagai cabaran.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin ditemui media ketika Majlis penyerahan tajaan kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak sempena sambutan ulang tahun pemerintahan DYMM Tuanku Sultan Selagor di Dewan Karangkraf pada 15 September 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Di sebalik segala badai tersebut, Negeri Selangor Darul Ehsan terus berdiri teguh. Mengapa? Kerana kita mempunyai pasak kestabilan yang ampuh.

"Ketegasan Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berfungsi sebagai kompas pedoman, tempat kerajaan memohon nasihat dan tempat rakyat menumpang harap.

"Tuanku tidak hanya bertitah di bilik-bilik mesyuarat atau singgahsana istana tetapi Tuanku sentiasa meneliti keluh-kesah rakyat di akar umbi," katanya dalam sembah ucapan pada 18 Oktober.

Sembah ucapan itu berlangsung dalam Majlis Jamuan Teh Diraja pertama di Padang Mahkota Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober. Lebih 3,000 rakyat dari Klang, Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Selangor memeriahi upacara tersebut.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama isteri Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato' Abdul Aziz turut beramah mesra dengan rakyat.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Program sama juga diadakan secara berperingkat sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor meliputi segenap lapisan rakyat dari seluruh daerah lain.

Dalam majlis itu, Dr Ahmad Fadzli turut menegaskan kedudukan institusi beraja di Selangor bukan simbol sejarah atau warisan adat semata-mata sebalik tiang seri sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Dalam sembah ucapan sama, beliau berkata setiap titah pedoman dan teguran Baginda menjadi kompas dalam merangka dasar kerajaan khususnya berkaitan kepentingan rakyat jelata.

Menurut ketua penjawat awam negeri itu, Baginda antara lain memberi penekanan kepada ketelusan pengurusan kewangan, kelestarian alam sekitar serta bahaya rasuah dan penyelewengan.

"Apabila Tuanku dengan tegas mengingatkan tentang bahaya rasuah dan penyelewengan, ia menjadi tanggungjawab mutlak patik selaku Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh ketua jabatan untuk memastikan tiada sebarang ketirisan wang rakyat berlaku di bumi Selangor," katanya.

Dr Ahmad Fadzli turut menyanjung tinggi pendirian dan ketegasan Baginda dalam memelihara kesucian agama Islam dan pada masa sama melindungi hak penganut agama lain di negeri ini.

"Titah-titah Tuanku yang menolak sekeras-kerasnya fahaman ekstremisme, perkauman sempit dan tindakan menangguk di air keruh demi kepentingan politik adalah benteng teguh yang memayungi keharmonian negeri ini," katanya.

Ini kerana Selangor adalah medan pertemuan (melting pot) yang menjadi 'rumah' kepada jutaan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama. Namun, keharmonian terus terbina hasil toleransi dan sikap saling menghormati yang dipupuk sekian lama.

Justeru, beliau turut mengajak seluruh rakyat berbilang kaum supaya bersama-sama menjaga 'rumah' dengan tidak membiar perbezaan pandangan merobek perpaduan yang wujud sekian lama.

"Janganlah kita biarkan perbezaan pandangan merobek institusi perpaduan yang telah kita bina. Kekuatan Selangor terletak pada kudrat kita yang bersatu hati, berdiri sederap, melangkah seiringan," katanya.

Beliau juga menyifatkan majlis tersebut memberi ruang berharga untuk rakyat pelbagai latar belakang untuk mendekati, menatap wajah dan merasai kemesraan serta sifat ihsan Baginda.

Melalui majlis sedemikian, katanya, sempadan hierarki dan kelaziman protokol sedikit sebanyak dilonggar sekali gus menjadi tautan kasih sayang antara payung mahkota dan rakyat jelata.

"Inilah wajah sebenar institusi beraja Selangor. Raja yang bertakhta di takhta, namun hati Baginda sentiasa merakyat di bawah," kata beliau lagi.

Dr Ahmad Fadzli juga menyampaikan sembah ucapan berkaitan perkembangan kemajuan dan kepesatan pembangunan daerah khususnya Klang yang disifatkannya sebagai jantung tradisi Kesultanan Selangor.

Beliau antara lain turut menghurai kelebihan empat daerah sempena program tersebut iaitu yakni Petaling sebagai nadi kepesatan ekonomi metropolis, Hulu Selangor adalah paru-paru hijau negeri, Sabak Bernam adalah jelapang padi dan kebun kehidupan negeri.

Namun, Dr Ahmad Fadzli juga mengingatkan kemajuan bukan hanya dinilai segi nilai pelaburan tetapi diukur dari sejauh mana jalan raya diselenggara, klinik kesihatan mudah diakses dan anak-anak ke sekolah dengan selamat.

"Pembangunan fizikal tidak akan bermakna sekiranya ia tidak menyentuh kehidupan manusia," katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.