SHAH ALAM, 20 JULAI: Sebanyak 48 pasukan bola sepak bawah 15 tahun (B-15) dari seluruh Selangor akan beraksi dalam Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor bermula September ini, dengan hadiah wang tunai keseluruhan RM33,000 menjadi rebutan.
Juara kejohanan sempena sambutan 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu bakal membawa pulang RM12,000, manakala naib juara menerima RM9,000, tempat ketiga RM7,000 dan tempat keempat RM5,000.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, edisi kali ini menyaksikan penyertaan meningkat daripada 32 kepada 48 pasukan, selain menawarkan hadiah kemenangan lebih tinggi berbanding penganjuran terdahulu.
"Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM500,000 bagi memastikan penganjuran kejohanan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada semua sekolah yang mengambil bahagian.
"Kalau sebelum ini hadiah juara RM8,000, kali ini kita naikkan kepada RM12,000. Naib juara akan menerima RM9,000, tempat ketiga RM7,000 dan tempat keempat RM5,000, selain pingat kepada pemenang," katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, setiap pasukan yang layak ke pusingan akhir turut menerima bantuan kewangan RM1,200 sebagai persediaan awal, manakala pasukan yang mara ke pusingan 32, 16 dan suku akhir akan menerima tambahan RM1,000 bagi setiap peringkat untuk menampung kos pengangkutan serta pengurusan.
Menurutnya, pasukan yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik berpeluang menerima bantuan keseluruhan sehingga RM4,200 sepanjang kejohanan.
"Semua sekolah yang layak akan disediakan sebuah bas untuk membawa pemain, guru dan penyokong ke aksi final di Stadium MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) pada 31 Oktober, manakala dua pasukan finalis masing-masing akan menerima empat buah bas.
"Semua 48 sekolah akan dijemput hadir ke perlawanan akhir kerana kita mahu menjadikan acara ini sebagai kemuncak sambutan Jubli Perak Sultan Selangor dengan kehadiran warga sekolah, guru dan PIBG memenuhi stadium.
"Pertandingan akhir akan diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari," ujarnya.
Sementara itu, Emran berkata kejohanan kali ini menggunakan format baharu membabitkan 48 pasukan selepas penyertaan awal melibatkan 251 sekolah daripada keseluruhan 284 sekolah menengah di 10 daerah seluruh Selangor.
Beliau berkata, seramai 4,518 pemain akan beraksi pada peringkat kelayakan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) sebelum 48 pasukan terbaik mengesahkan tempat ke pusingan akhir kejohanan tersebut.







