SHAH ALAM, 2 NOV: Peningkatan kos sara hidup terus memberi tekanan kepada keluarga muda, khususnya mereka yang bergantung kepada pendapatan tunggal RM3,000 sebulan untuk menampung keperluan pasangan dan anak.
Pendapatan itu mungkin memadai bagi individu bujang, namun belum tentu mencukupi untuk menampung keperluan sebuah keluarga, terutama di kawasan yang mempunyai kos kehidupan lebih tinggi seperti Selangor.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, kecukupan gaji perlu dinilai berdasarkan jumlah tanggungan, lokasi tempat tinggal serta komitmen bulanan seseorang.
Menurutnya, simulasi Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) menerusi kalkulator Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan individu bujang di Selangor dianggarkan memerlukan sekitar RM2,600 sebulan, manakala keluarga yang terdiri daripada pasangan dan anak memerlukan kira-kira RM5,700 bagi menjalani kehidupan selesa.

“Kalau kita bercakap soal RM3,000, sama ada cukup atau tidak, sebenarnya perkara itu sangat subjektif. Dalam konteks sebuah keluarga yang mempunyai suami, isteri dan anak, perbelanjaan asas untuk kehidupan selesa di Selangor adalah sekitar RM5,700,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor bertajuk Gaji RM3,000: Cukup ke Hidup di Selangor? baru-baru ini.
Risiko Defisit
Bagi keluarga muda yang mempunyai seorang atau dua anak, kebergantungan kepada pendapatan tunggal RM3,000 bukan sahaja mengehadkan perbelanjaan, malah meningkatkan risiko mengalami defisit kewangan.
Komitmen bulanan seperti perumahan, makanan, pengangkutan dan penjagaan anak menyebabkan ruang untuk menyimpan semakin terbatas, terutama apabila berdepan perbelanjaan luar jangka.
Mohamad Fazli yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) berkata, keadaan itu boleh menyebabkan sesetengah keluarga terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi aktiviti sosial, perlindungan kesihatan serta makanan berkhasiat.
“Apabila kita sudah mula berkeluarga, antara kos yang perlu ditanggung sudah pastilah kos membesarkan anak.
“Kalau keadaan seperti ini, saya rasa sangat mencabar. Mungkin ada keadaan yang menyebabkan mereka berada dalam keadaan defisit atau keberhutangan, yang akhirnya memberi tekanan kewangan,” katanya.
Menurutnya, kekangan pendapatan turut menyebabkan sesetengah keluarga terpaksa mengorbankan keperluan tertentu demi memastikan perbelanjaan asas terus dapat ditampung.
“Disebabkan ketidakcukupan itu, makanan berkualiti dan nutrisi terpaksa dikurangkan. Malah, mungkin sampai masanya keperluan lain juga perlu dikorbankan untuk memastikan kelangsungan hidup,” katanya.
Bukan Boros
Kesempitan kewangan tidak semestinya berpunca daripada kegagalan mengurus wang. Ada keluarga yang sudah berjimat dan mengetepikan kehendak peribadi, namun pendapatan diterima masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas.
Mohamad Fazli berkata, masalah kewangan perlu dilihat daripada dua sudut, iaitu faktor dalaman yang membabitkan disiplin perbelanjaan serta faktor luaran seperti peningkatan kos sara hidup yang sukar dikawal.
Katanya, sekiranya seseorang sudah menyusun semula perbelanjaan dan mengurangkan komitmen tidak perlu tetapi masih mengalami kekurangan wang, keadaan itu mungkin menunjukkan ketidakseimbangan antara pendapatan dengan kos kehidupan.
“Selepas dia buat penyesuaian, sudah buat macam-macam tetapi masih tidak mencukupi, itu bermaknanya masalah bukan dari segi disiplin.
“Itu lebih kepada masalah struktur, maknanya pendapatan ataupun gaji yang diterima tidak cukup,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan usaha meningkatkan pendapatan perlu diberi perhatian, bukan sekadar mengharapkan pengguna terus berjimat bagi menghadapi tekanan kos sara hidup.
Gaji Bermaruah
Bagi memastikan pekerja menikmati pendapatan yang lebih wajar dan bermaruah, Mohamad Fazli berpandangan peningkatan kemahiran serta peluang perkembangan kerjaya penting untuk membuka ruang memperoleh gaji lebih baik.

Menurutnya, pekerjaan sampingan termasuk dalam sektor ekonomi gig boleh membantu menambah pendapatan, namun lebih sesuai dianggap sebagai penyelesaian jangka pendek berikutan pendapatan yang tidak menentu serta masa bekerja lebih panjang.
“Yang lebih penting, kita perlu fikir bagaimana meningkatkan kemahiran dan pengetahuan supaya dapat memberikan pendapatan yang lebih selesa untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan usaha mengurangkan tekanan kewangan tidak boleh bergantung kepada kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan kerajaan dan majikan.
Antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk penyediaan kemudahan penjagaan anak berhampiran tempat kerja, bantuan bersasar, pengangkutan awam serta perumahan mampu milik.
“Kalau kita tengok, perbelanjaan untuk membesarkan anak dan menghantar mereka ke nurseri agak mencabar serta mahal. Itu kalau seorang anak, kalau dua atau tiga orang anak bagaimana?
“Bagus kalau kita dapat wujudkan taska, tadika atau pusat penjagaan anak berhampiran lokasi tempat kerja supaya lebih memudahkan ibu bapa,” katanya.
Pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan peningkatan pendapatan bukan sahaja membantu pekerja menampung perbelanjaan bulanan, malah memberi ruang untuk membina simpanan dan menjamin kestabilan kewangan pada masa depan.









