Pelan Mitigasi Banjir Selangor langkah tepat hadapi iklim ekstrem

13 Okt 2026, 3:00 AM
Pelan Mitigasi Banjir Selangor langkah tepat hadapi iklim ekstrem
Pelan Mitigasi Banjir Selangor langkah tepat hadapi iklim ekstrem
Pelan Mitigasi Banjir Selangor langkah tepat hadapi iklim ekstrem
Pelan Mitigasi Banjir Selangor langkah tepat hadapi iklim ekstrem

SHAH ALAM, 13 OKT: Pelan Mitigasi Banjir Selangor (SelFMiP) yang diperkenalkan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi risiko perubahan iklim ekstrem.

Pensyarah Kanan Sumber Air dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir Ts Dr Nurul Fariha Lokman berkata pendekatan itu penting memandangkan Selangor mempunyai kawasan pesisir serta tanah rendah yang terdedah kepada risiko banjir.

“SelFMiP ini adalah respons tepat bagi kawasan pinggir pantai yang panjang dan rendah.

“Objektif mitigasi banjir itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam mendepani risiko perubahan iklim yang ekstrem,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Sumber Air dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir Ts Dr Nurul Fariha Lokman ketika rakaman Bicara Semasa tajuk Hidup Dalam Era Perubahan iklim, Bersediakah kita? di Studio MSSB, Shah Alam pada 7 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR 

Menurut Nurul Fariha, usaha tebatan banjir perlu dilaksanakan secara berterusan dengan memberi tumpuan kepada lokasi berisiko tinggi, khususnya di sepanjang sungai dan kawasan perairan.

Beliau berkata pendekatan mitigasi tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disepadukan dengan aspek kesihatan awam dan sistem pemantauan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana berkaitan iklim.

“Tebatan banjir perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem keselamatan yang melindungi bukan sahaja harta benda, tetapi juga sosioekonomi dan nyawa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pelaksanaan SelFMiP sebagai langkah positif dalam meningkatkan daya tahan Selangor terhadap risiko perubahan iklim.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim bersama ADN Batu Tiga, Danial Al Rashid Harun Aminar Rashid dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof ketika Lawatan pemantauan projek rancangan tebatan banjir anak sungai Damansara pada 19 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

SelFMiP diperkenalkan menerusi Misi Lima: Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik sebagai pelan induk strategik mitigasi banjir negeri bagi memperkukuh daya tahan iklim dan pengurusan bencana.

Pelan berkenaan mengintegrasikan risiko iklim dalam perancangan dasar dan pembangunan daerah, termasuk menyemak semula projek mitigasi banjir sedia ada, peluasan infrastruktur tebatan serta penerapan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam pembangunan baharu.

Selain itu, RS-2 turut menggariskan pewujudan Sistem Pengurusan Data Iklim Bersepadu yang menghimpunkan data bencana, hidrologi dan geospatial merentas agensi bagi meningkatkan ketepatan amaran awal serta mempercepat tindakan ketika bencana.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.