Alzheimer bukan sekadar pelupa, keluarga turut berdepan perubahan besar

4 Okt 2026, 1:00 AM
Alzheimer bukan sekadar pelupa, keluarga turut berdepan perubahan besar
Alzheimer bukan sekadar pelupa, keluarga turut berdepan perubahan besar
Alzheimer bukan sekadar pelupa, keluarga turut berdepan perubahan besar

SHAH ALAM, 4 OKT: Pada awalnya mungkin hanya terlupa tarikh, tersalah meletakkan barang atau terlupa perkara yang baru berlaku.

Namun, apabila perubahan ingatan berlaku secara berterusan, semakin teruk dan mula mengganggu kehidupan seharian, ia tidak sepatutnya dipandang ringan.

Pakar Psikiatri MSU Medical Centre berkata masalah lupa biasa perlu dibezakan daripada demensia dan Alzheimer kerana ketiga-tiganya merupakan keadaan yang berbeza.

Menurut Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi, masalah lupa boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan pada mana-mana peringkat umur, antaranya apabila seseorang kurang memberi perhatian terhadap sesuatu perkara.

Pakar Psikiatri MSU Medical Centre Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

"Pelupa ini biasanya kebanyakkan kes terjadi apabila seseorang itu kurang fokus, atau kurang beri perhatian kepada sesuatu perkara, ini boleh dikategorikan sebagai pelupa.

"Bagi demensia pula, penyakit ini lebih serius. Kebiasaannya, ia dialami oleh orang yang lebih berusia seperti warga emas, yang melibatkan kemerosotan fungsi kognitif yang memberi kesan kepada daya ingatan, pemikiran, bahasa dan kebolehan menjalankan aktiviti seharian.

"Alzheimer sebenarnya adalah salah satu penyakit demensia yang disebabkan oleh kerosakan sel-sel otak, di samping terdapat pengumpulan beberapa jenis protein yang tidak normal dalam otak," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, pengumpulan protein tidak normal seperti amyloid dan tau dalam otak boleh mengganggu fungsi sel-sel otak sebelum menyebabkan kemusnahan sel secara beransur-ansur.

Tanda awal

Antara tanda awal Alzheimer yang perlu diberi perhatian ialah kesukaran mengingati maklumat baharu, selain masalah mencari perkataan, terlupa temu janji serta keliru mengenai tarikh dan tempat.

Menurut Muhammad Najib, penghidap Alzheimer turut mungkin menghadapi kesukaran menguruskan wang, tersalah meletakkan barang dan dalam keadaan tertentu boleh tersesat walaupun berada di kawasan yang biasa dikunjungi.

Beliau berkata, perubahan berkenaan perlu diberi perhatian apabila berlaku secara berterusan, semakin teruk dan mula mengganggu kehidupan seharian.

"Kadang-kadang kita ingat ini memang lumrah orang tua yang begitu (mudah lupa). Tapi ukurannya ialah kita tengok, kalau ia berlaku secara berterusan dan bertambah teruk sehingga menganggu kehidupan orang tersebut," katanya.

Keadaan itu, katanya, bukan sahaja memberi kesan kepada penghidap tetapi turut mengubah kehidupan ahli keluarga, terutama mereka yang mengambil peranan sebagai penjaga.

Perubahan besar

Menurut Muhammad Najib, antara cabaran utama yang sering dihadapi penjaga ialah perubahan peranan, perubahan tingkah laku pesakit dan keletihan akibat tanggungjawab penjagaan dalam tempoh panjang.

Katanya, perubahan peranan berlaku apabila anak yang sebelum ini dijaga dan dibesarkan ibu bapa terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga mereka apabila usia dan penyakit semakin menjejaskan keupayaan untuk menguruskan diri.

"Biasanya, daripada seseorang yang lebih berusia seperti bapa, suami, isteri, datuk atau nenek, peranan itu dah berubah, menjadikan kita penjaga kena pastikan yang makan dan minum dia terjaga.

"Apabila penyakit semakin teruk, tahap kebergantungan pesakit terhadap penjaga turut akan meningkat, contohnya, memerlukan bantuan untuk menukar pakaian, menggunakan lampin, serta menguruskan rutin dan keperluan harian," katanya.

Mudah marah

Selain kebergantungan fizikal, perubahan tingkah laku pesakit turut boleh menjadi cabaran besar kepada keluarga.

Menurut beliau, pesakit mungkin menjadi mudah marah, agresif atau mengamuk, walaupun perubahan tersebut berlaku tanpa disengajakan.

"Penyakit ini disebabkan otak. Jadi bila bahagian otak yang mengawal tingkah laku itu rosak, akan berlakulah perubahan pada tingkah laku secara tidak langsung.

"Keadaan ini sememangnya mencabar dan menjadi sukar buat keluarga untuk memahami kerana pesakit mungkin melakukan sesuatu yang sebelum ini tidak pernah dilakukan.

"Ini akan membuatkan penjaga memikul tanggungjawab dalam tempoh panjang, boleh jadi berbulan-bulan atau bertahun-tahun," katanya.

Justeru, beliau berkata, keluarga perlu memahami perubahan yang berlaku kepada pesakit dan mendapatkan bantuan yang sesuai apabila beban penjagaan semakin meningkat.

Alzheimer bukan sekadar penyakit yang menyebabkan seseorang kehilangan ingatan, sebaliknya boleh mengubah peranan, hubungan dan rutin seluruh keluarga, terutama mereka yang menjadi penjaga.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.