SHAH ALAM, 5 OKT: Rawatan baharu bagi penyakit Alzheimer memberi harapan menerusi pendekatan yang bukan sahaja membantu mengurus simptom, malah menyasarkan mekanisme penyakit dalam otak.
Pakar Psikiatri MSU Medical Centre, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi berkata rawatan Alzheimer sebelum ini lebih tertumpu kepada membantu mengurangkan kemerosotan fungsi kognitif dengan mempengaruhi bahan kimia tertentu di dalam otak.
Namun, terapi baharu seperti Lecanemab mempunyai mekanisme berbeza apabila menyasarkan protein beta-amyloid yang berkait rapat dengan proses penyakit Alzheimer.

"Alzheimer ini bukan sahaja menyebabkan kemerosotan sel otak secara beransur-ansur, malah dikaitkan dengan pengumpulan protein yang tidak normal termasuk 'beta-amyloid' dan 'tau protein' di dalam otak.
"Ubat baharu (Lecanemab) ini bertindak sebagai antibodi yang menyasarkan protein-protein berlebihan yang tidak perlu di dalam otak. Secara mudahnya, ia seperti satu mekanisme untuk membersihkan otak daripada protein yang tidak diperlukan," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Beliau berkata perbezaan berkenaan menjadikan terapi baharu itu berbeza daripada ubat terdahulu yang lebih membantu mengurangkan simptom atau memperlahankan kemerosotan fungsi.
Bagaimanapun, terapi berkenaan bukan bermaksud penyakit Alzheimer boleh disembuhkan sepenuhnya.
Sebaliknya, matlamat rawatan adalah untuk memperlahankan perkembangan penyakit dan mengekalkan fungsi pesakit untuk tempoh yang lebih lama.
Pemantauan rapi
Dalam pada itu, Muhammad Najib berkata rawatan berkenaan memerlukan pemantauan lebih rapi berikutan pemberiannya secara intravena serta keperluan menjalani pemeriksaan imbasan MRI secara berkala.
“Ubat ini biasanya diberikan dua minggu sekali dan kita kena monitor secara agak terperinci menggunakan pengimejan resonans magnetik (MRI),” katanya.
Menurutnya, keperluan pemantauan tersebut turut menyebabkan faktor kos perlu diberi perhatian oleh pesakit dan keluarga.
Beliau berkata anggaran kos yang dikemukakan dalam konteks perbincangan itu perlu dilihat dengan berhati-hati kerana harga sebenar rawatan di Malaysia bergantung kepada penetapan tempatan serta kos pemantauan berkaitan.
Bukan semua sesuai
Pada masa sama, beliau berkata tidak semua penghidap Alzheimer semestinya sesuai untuk menerima terapi baharu berkenaan.
Menurutnya, manfaat rawatan lebih bersesuaian dengan pesakit pada peringkat awal penyakit atau mereka yang mengalami Mild Cognitive Impairment (MCI), berbanding pesakit pada peringkat sederhana atau lebih teruk.
Faktor genetik seperti APOE-E4, varian yang meningkatkan risiko mendapat penyakit Alzheimer dan dikaitkan dengan kemunculan gejala pada usia yang lebih awal, juga perlu dipertimbangkan dalam menilai risiko dan kesesuaian rawatan bagi sesetengah pesakit.
“Untuk pemilihan siapa yang sesuai, kita kena melakukan perbincangan yang serius dengan keluarga mengenai kos, implikasi dan risiko,” katanya.
"Jadi, keputusan mendapatkan rawatan perlu dibuat berdasarkan keadaan individu, kemampuan keluarga, manfaat yang dijangkakan serta risiko yang mungkin berlaku," katanya.
Perkembangan terapi baharu berkenaan menunjukkan pendekatan terhadap Alzheimer kini turut memberi tumpuan kepada mekanisme penyakit, bukan hanya pengurusan simptom.
Namun, beliau menegaskan penyelidikan masih diperlukan bagi mendapatkan rawatan yang mampu menghentikan atau membalikkan kerosakan akibat penyakit Alzheimer.
“Dalam masa terdekat, dengan teknologi yang ada, saya rasa kita masih jauh dari menemukan formula untuk menghentikan atau membalikkan penyakit Alzheimer,” katanya.








