PETALING JAYA, 1 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM10.73 juta bagi melaksanakan projek mitigasi banjir di lima lokasi kritikal sekitar bandar raya itu yang dijangka siap sebelum April 2027.
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato' Mohd Yazid bin Sairi, berkata projek berkenaan merupakan sebahagian daripada fasa pertama pelaksanaan projek Quickwin bagi mengurangkan risiko banjir kilat, khususnya ketika berdepan peralihan Monsun Timur Laut.
Menurutnya, kerja pelaksanaan projek berkenaan sudah bermula pada Oktober 2026 dengan tumpuan di kawasan Gerai 223, Seksyen 51A, Terowong PJU1A/4F serta Kampung Cempaka dan Kayu Ara.
“Fasa pertama melibatkan lima lokasi kritikal termasuk sekitar Gerai 223/Seksyen 51A, Terowong PJU1A/4F dan Kampung Cempaka/Kayu Ara dengan peruntukan RM10.73 juta.
“Projek ini telah bermula pada Oktober 2026 dan komitmen Majlis adalah untuk menyiapkannya sebelum April 2027,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Majlis MBPJ Bil. 10 Tahun 2026, pada 30 Oktober lalu.
Beliau berkata pelaksanaan projek mitigasi itu turut diselaraskan bersama agensi teknikal bagi memastikan infrastruktur yang dibangunkan mampu menghadapi risiko cuaca ekstrem dalam jangka panjang.
“Hasil kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri melalui lawatan kerja YB EXCO Infrastruktur dan Pertanian, YB Dato’ Ir. Izham bin Hashim pada 19 Mei 2026 yang lalu, MBPJ telah menyelaraskan semula strategi teknikal bersama agensi teknikal JPS dan JKR bagi memastikan setiap projek mitigasi yang dilaksanakan mampu bertahan dalam jangka masa panjang menghadapi ekstrem cuaca masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, MBPJ memperuntukkan RM21 juta bagi keseluruhan 15 projek Quickwin yang diselaraskan sebagai tindakan segera mengurangkan risiko banjir kilat.
Baki 10 projek Quickwin melibatkan peruntukan RM10.31 juta pula dijadualkan dilaksanakan menerusi Belanjawan 2027, dengan proses perolehan bermula seawal Februari tahun depan.
Secara keseluruhan, pelan mitigasi banjir MBPJ dibahagikan kepada tiga fasa iaitu 15 projek Quickwin bernilai RM21 juta, 12 projek jangka sederhana berjumlah RM19.9 juta dan lima projek jangka panjang bernilai RM36 juta.
MBPJ turut membelanjakan RM62.6 juta sejak 2017 bagi meningkatkan keupayaan infrastruktur bandar raya itu menghadapi kesan perubahan iklim, tidak termasuk projek Quickwin.
Antara pendekatan digunakan termasuk sistem takungan Inline Detention dan Mini Dam, sistem On-Site Detention (OSD) bawah jalan serta Sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) bagi mengawal aliran air dan mengelakkan aliran sungai memasuki sistem perparitan dalaman.
Selain itu, MBPJ turut menggunakan sensor paras air bersama kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko bagi mengesan kenaikan paras air sungai secara masa nyata serta mengaktifkan siren amaran awal kepada orang awam.








