MBPJ, PPUM jalin kerjasama perkasa ekosistem penjagaan warga emas

18 Okt 2026, 4:02 AM
MBPJ, PPUM jalin kerjasama perkasa ekosistem penjagaan warga emas

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memeterai Surat Hasrat (LOI) bersama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi membangunkan ekosistem penjagaan warga emas yang lebih menyeluruh menerusi kerjasama dalam bidang perubatan, latihan dan penyelidikan.

Pemeteraian LOI itu disempurnakan Datuk Bandar Petaling Jaya,Dato’ Mohd Yazid Sairi bersama Ketua Pengarah PPUM, Prof. Dr. Mohd Zulkiflee Abu Bakar pada Majlis Penutup Selangor International Care Expo (SICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

MBPJ berkata kerjasama strategik itu merangkumi enam bidang utama iaitu pembangunan latihan penjagaan warga emas, penyediaan modul dan tenaga pengajar, sokongan kesihatan penjaga, model sokongan komuniti, projek rintis serta penyelidikan dan penilaian impak.

“Usaha ini akan meningkatkan kompetensi penjaga keluarga, komuniti dan kakitangan pusat jagaan menerusi latihan berstruktur, pendidikan kesihatan dan demonstrasi praktikal berasaskan kepakaran PPUM.

“Kesejahteraan penjaga turut diberi penekanan menerusi pendidikan pengurusan tekanan, kesihatan mental, demensia dan sokongan rakan sebaya bagi memastikan penyampaian penjagaan yang lebih berkualiti serta selamat,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut MBPJ, kerjasama itu turut melibatkan penerokaan model sokongan kesihatan komuniti dan projek rintis yang mengintegrasikan prinsip perancangan bandar mesra usia dengan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh.

Selain itu, kajian mengenai keperluan penjaga, keberkesanan program latihan dan penuaan sihat akan dilaksanakan sebagai asas penambahbaikan dasar serta inisiatif penjagaan warga emas pada masa hadapan.

“Langkah awal ini akan menyusul kepada pembentukan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperincikan skop dan mekanisme pelaksanaan mengikut kelulusan serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Kerjasama itu selaras dengan Pelan Tindakan Warga Emas Petaling Jaya 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030, yang menyokong usaha memperluas sinergi sektor awam demi kesejahteraan rakyat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.