PETALING JAYA, 31 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan sumbangan keseluruhan RM30,000 bagi menceriakan 100 keluarga berpendapatan rendah (B40) komuniti India di sekitar daerah ini sempena perayaan Deepavali.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohd Yazid Sairi berkata, setiap keluarga menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM300 bagi membantu meringankan beban kewangan serta persiapan menyambut perayaan tersebut.
Katanya, penerima dikenal pasti menerusi pangkalan data eKasih bagi memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
"Kita memahami cabaran kos sara hidup yang dihadapi oleh sesetengah keluarga. Justeru, sumbangan kepada 100 penerima daripada data eKasih di sekitar Petaling Jaya diharapkan dapat meringankan beban kewangan serta membantu persiapan menyambut Deepavali," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sumbangan Sambutan Perayaan Deepavali Tahun 2026 di Kompleks Sukan Arena PJ hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yazid berkata hala tuju MBPJ dalam menangani kemiskinan bandar bukan sekadar memberikan bantuan untuk keperluan semasa, tetapi turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Kita mahu beralih daripada pendekatan yang hanya membantu ketika kesusahan kepada pendekatan yang turut memperkasa keupayaan rakyat untuk berdikari," tegasnya.
Beliau menambah, inisiatif itu selaras dengan nilai ihsan dan kesejahteraan Malaysia MADANI, hala tuju pembangunan negeri Selangor serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 1: Tiada Kemiskinan).
"Bagi MBPJ, kejayaan sesebuah bandar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui keupayaannya meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Setiausaha Pengurusan MBPJ, Tuan Mohd Fauzi bin Maarop dan Timbalan Setiausaha Pembangunan MBPJ, TPr Tuan Zain Azly bin Abdul Rahman.








