MBPJ: Pengendali makanan gagal buat suntikan boleh didenda RM1,000, berkuat kuasa 2027

1 Nov 2026, 12:30 AM
MBPJ: Pengendali makanan gagal buat suntikan  boleh didenda  RM1,000, berkuat kuasa 2027
MBPJ: Pengendali makanan gagal buat suntikan  boleh didenda  RM1,000, berkuat kuasa 2027

PETALING JAYA, 1 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menaikkan kadar kompaun terhadap pengusaha premis makanan yang gagal memastikan pekerja mempunyai suntikan pelalian antitifoid (TY2) sah sehingga RM1,000 berkuat kuasa Januari tahun depan.

Penetapan kadar baharu itu dibuat susulan 940 kompaun atau 22.8 peratus daripada keseluruhan 4,119 kompaun kesalahan utama berkaitan pengendalian makanan yang direkodkan sepanjang 2024 hingga 2026 melibatkan kesalahan tiada pelalian TY2.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohd Yazid bin Sairi dalam perutusan sempena Mesyuarat Majlis Bil. 10 Tahun 2026 pada 30 Oktober lalu memaklumkan kadar kompaun baharu dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan jumlah pengendali makanan yang tidak mempunyai pelalian TY2 sah di sesebuah premis.

Bagi premis yang mempunyai satu hingga lima pengendali makanan tanpa pelalian sah, kompaun RM250 dikenakan, manakala premis dengan enam hingga 15 pekerja dikenakan RM500.

Premis yang mempunyai 16 pengendali makanan dan ke atas tanpa pelalian TY2 sah pula boleh dikenakan kompaun RM1,000.

Sebelum ini, MBPJ mengenakan kadar kompaun RM250 bagi kesalahan berkenaan, walaupun peruntukan undang-undang kecil membolehkan kompaun sehingga maksimum RM1,000 dikenakan bagi setiap kesalahan yang boleh dikompaun.

Menurut MBPJ, penetapan semula kadar itu bertujuan meningkatkan pematuhan serta mengurangkan kesalahan berulang berikutan kadar sedia ada dinilai belum memberikan kesan pencegahan mencukupi.

Majlis turut menjelaskan pelalian TY2 merupakan syarat utama pelesenan premis makanan kerana penyakit tifoid disebabkan bakteria Salmonella Typhi yang boleh merebak melalui makanan atau air tercemar.

Pengusaha premis bertanggungjawab memastikan semua pekerja mempunyai pelalian yang masih sah serta menyediakan rekod seperti kad, sijil atau surat perakuan untuk pemeriksaan pihak berkuasa.

MBPJ akan menghebahkan perubahan kadar kompaun kepada pengusaha dan pengendali makanan mulai November hingga Disember ini bagi memberi ruang kepada mereka menyemak rekod pelalian sebelum penguatkuasaan bermula Januari 2027.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.