Bincang isu kewangan sebelum berkahwin, elak perbahalan

4 Nov 2026, 1:00 PM
Bincang isu kewangan sebelum berkahwin, elak perbahalan

SHAH ALAM, 4 NOV: Pasangan yang bakal berkahwin disaran berbincang soal nafkah dan komitmen kewangan sejak awal bagi mengelakkan konflik yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Ketua Hakim Syarie Selangor Nenney Shuhaidah Shamsuddin berkata langkah itu penting supaya kedua-dua pihak memahami tanggungjawab selain merancang perbelanjaan mengikut kemampuan.

Ketua Hakim Syarie Selangor Nenney Shuhaidah Shamsuddin

“Jika perkara ini tidak diuruskan, akan menjadi punca pergaduhan setelah berkahwin. Kena susun semua perkara dari awal dan berbincang, bukan sahaja isu kewangan, perlu ada komunikasi yang baik.

“Penting pastikan ada kewangan yang mencukupi, masuk alam perkahwinan dengan ilmu, jangan kosong. Perlu rancang dan mengetahui kemampuan termasuk setelah dikurniakan zuriat,” katanya.

Beliau memberitahu kegagalan menunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga boleh mencetuskan konflik berpanjangan, sekali gus antara faktor penyumbang kepada perceraian.

Nenney Shuhaidah juga menegaskan isteri berhak membuat tuntutan di mahkamah jika nafkah yang diterima tidak mencukupi meskipun suami memiliki kemampuan kewangan yang teguh.

“Pernah ada kes sepanjang perkahwinan suami tidak beri nafkah cukup sedangkan berkemampuan. Isterinya mempunyai bukti yang cukup dan (suami) diperintah bayar lebih RM350,000,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Agama Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar menegaskan langkah menyita simpanan kewangan bekas suami yang culas membayar nafkah giat diusahakan bersama Bank Negara Malaysia.

Nenney Shuhaidah berkata Bahagian Sokongan Keluarga bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia juga ada memberi kesedaran kepada penanggung nafkah dari kalangan waris bagi melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya.

Pada 2024, Mohd Nai'im berkata isu kewangan antara punca pergaduhan dalam rumah tangga yang membawa kepada perceraian antaranya berpunca sikap suami atau bapa yang culas memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.