SHAH ALAM, 28 OKT: Penguatkuasaan lebih tegas terhadap bekas suami yang sengaja ingkar perintah pembayaran nafkah perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak terbela.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari menggesa tindakan itu diperkukuh sambil menyambut baik cadangan mengenakan hukuman termasuk potongan gaji, penyitaan dan penjualan harta serta pengkomitan ke penjara melalui proses kehakiman.
“Saya menyambut baik cadangan untuk tindakan lebih tegas oleh Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Malaysia…inisiatif ini saya mahu lebih luas lagi supaya isteri-isteri tidak mendapat nafkah sewajarnya daripada bekas suami perlu diambil tindakan tegas.
“Kebanyakan kes-kes penceraian para ibu datang sekali pakej dengan anak-anak. Saya kira perlu ada tindakan penguatkuasaan lebih tegas supaya bapa lebih bertanggungjawab dengan anak-anak mereka.
“Sekiranya tindakan lebih sejajar di peringkat pusat dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah ini dilaksana ia perlu diselaras dengan mahkamah Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain,” katanya kepada Media Selangor.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli memaklumkan bekas suami yang sengaja ingkar perintah pembayaran nafkah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk potongan gaji, penyitaan dan penjualan harta serta pengkomitan ke penjara melalui proses kehakiman.
Marhamah menjelaskan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sedang menyediakan cadangan pindaan terhadap Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap individu yang sengaja mengingkari perintah mahkamah.
Menurutnya, cadangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik peruntukan undang-undang dan prosedur sedia ada, khususnya dalam menangani kegagalan bekas suami mematuhi perintah pembayaran nafkah.
Sementara itu, Anfaal memaklumkan Selangor memperuntukkan RM100,000 menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bagi Program Bantuan Nafkah Rahmah.
Menurutnya, inisiatif di bawah Tabung Bantuan Sokongan Keluarga itu disediakan susulan banyak kes bapa gagal membayar nafkah walaupun perintah mahkamah telah dikeluarkan.
“Oleh itu, cadangan ini disambut baik dan perlu diselaras di semua mahkamah negeri,” katanya.







