PETALING JAYA, 1 Okt: Golongan berpendapatan sederhana (M40) dengan pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000 kini berdepan kemerosotan ketara dalam kemampuan menyimpan, menurut Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia 2025 oleh RinggitPlus.
Laporan itu mendedahkan kumpulan M40 merupakan satu-satunya segmen pendapatan yang mencatatkan kemerosotan tahap kewangan, dengan mereka yang hanya mampu menyimpan kurang RM500 sebulan meningkat mendadak daripada 31 peratus tahun lalu kepada 39 peratus tahun ini.
Sebaliknya, peratusan yang berjaya menyimpan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan menurun daripada 29 peratus kepada 23 peratus.
Kumpulan ini juga paling ramai mengurangkan perbelanjaan hiburan serta menamatkan langganan perkhidmatan bagi menampung kos sara hidup.
Lebih membimbangkan, hanya 27 peratus daripada golongan M40 percaya mereka mampu bertahan lebih enam bulan tanpa pendapatan, sekali gus menandakan tahap daya tahan kewangan yang semakin rapuh.
Selain itu, peningkatan kos turut memaksa rakyat di semua peringkat pendapatan menilai semula perlindungan insurans masing-masing. Sebanyak 22 peratus pemegang polisi dilaporkan mengurangkan atau membatalkan insurans dalam tempoh setahun lalu kerana masalah kemampuan kewangan.
Keadaan lebih parah bagi isi rumah berpendapatan rendah apabila tinjauan itu mendapati 43 peratus rakyat masih tidak mempunyai insurans perubatan, manakala kurang separuh sahaja memiliki polisi insurans hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew, mengakui tekanan kewangan yang dihadapi kumpulan M40 namun menjelaskan tinjauan itu tidak meneliti punca sebenar.
“Malangnya, kajian ini tidak menghuraikan sebab utama. Tetapi kita semua maklum tentang cabaran besar seperti inflasi dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya pada majlis pelancaran tinjauan tersebut di sini hari ini.
Walaupun berdepan cabaran, keyakinan terhadap simpanan persaraan menunjukkan sedikit peningkatan apabila 22 peratus rakyat percaya simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka mencukupi selepas bersara, berbanding hanya 19 peratus pada 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kaf Digital Bank, Rafiza Ghazali menekankan kepentingan kawal selia dalam membina keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan kewangan digital, khususnya aplikasi pihak ketiga yang menawarkan produk mikro simpanan atau pelaburan.
“Pengguna wajar diberi pilihan, namun kepercayaan sangat penting. Terdapat banyak aplikasi pihak ketiga di pasaran dan orang ramai perlu merasa yakin. Justeru, kawal selia memainkan peranan besar.
“Bank digital dan e-dompet dikawal selia pihak berkuasa, dan perkara itu memberi jaminan. Cop kawal selia ini membina keyakinan yang amat penting dalam pasaran pengguna,” katanya.
Tinjauan tersebut melibatkan 3,113 responden berusia 18 tahun ke atas dari seluruh negeri dan wilayah persekutuan, serta dijalankan dalam bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Cina.