KPM kenal pasti 691 guru perlu intervensi segera kesihatan mental

29 Okt 2026, 2:25 AM
KPM kenal pasti 691 guru perlu intervensi segera kesihatan mental

SHAH ALAM, 29 OKT: Seramai 691 guru di seluruh negara dikenal pasti memerlukan intervensi segera berkaitan kesejahteraan psikologi hasil saringan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap 82,126 guru.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata jumlah itu mewakili 0.84 peratus daripada keseluruhan guru yang menjalani saringan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi), lapor Berita Harian.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 636 guru berada pada tahap sederhana, 32 pada tahap sederhana rendah dan 23 lagi pada tahap rendah.

Bagaimanapun, majoriti guru iaitu 99.16 peratus mencatatkan tahap kesejahteraan psikologi baik, merangkumi 50,869 pada tahap tinggi dan 30,566 sederhana tinggi.

“Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan majoriti guru yang menjalani saringan berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun KPM akan terus memberikan perhatian dan intervensi kepada guru yang dikenal pasti memerlukan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di portal Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) mengenai masalah kesihatan mental dalam kalangan guru serta langkah intervensi KPM.

Fadhlina berkata guru yang dikenal pasti memerlukan bantuan akan diberikan sokongan melalui kaunseling individu dan kelompok, ujian psikologi serta program pengurusan tekanan dan emosi.

Katanya, intervensi turut merangkumi isu kewangan, masalah hutang serius, prestasi kerja dan kesihatan mental mengikut keperluan individu.

Bagi kes krisis, bantuan psikologi diberikan untuk menstabilkan emosi serta membantu guru meneruskan kehidupan dan kerjaya.

Sementara itu, KPM turut menyediakan peruntukan keseluruhan RM200 juta, termasuk tambahan RM100 juta bagi menaik taraf bilik guru di seluruh negara.

Menurut Fadhlina, usaha itu bertujuan menyediakan persekitaran kerja lebih selesa dan kondusif, sekali gus menyokong kesejahteraan fizikal, emosi serta psikologi warga pendidik.

Beliau menegaskan KPM akan terus memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan guru sentiasa terpelihara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.