KKM bangunkan dasar kesihatan mental di tempat kerja, perluas sokongan

25 Okt 2026, 1:30 PM
KKM bangunkan dasar kesihatan mental di tempat kerja, perluas sokongan

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh sistem sokongan dan akses perkhidmatan kesihatan mental di seluruh negara termasuk menerusi pembangunan Dasar Kesihatan Mental di Tempat Kerja yang masih dalam proses libat urus bersama dengan pihak berkepentingan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Sumber Manusia dan agensi berkaitan bagi memastikan dasar berkenaan dibangunkan secara menyeluruh serta mengambil kira keperluan pelbagai pihak.

“Proses itu memerlukan rundingan lebih luas sebelum dasar tersebut dapat dimuktamadkan bagi mengelakkan pelaksanaannya dibuat secara terasing tanpa penyelarasan mencukupi antara agensi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata KKM turut memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan mental melalui 1,116 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara selain hospital dan perkhidmatan berasaskan komuniti seperti Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI).

Katanya kira-kira 700 pakar psikiatri berdaftar di Malaysia dengan 400 berkhidmat di KKM manakala 300 lagi dalam sektor swasta.

Dzulkefly berkata KKM terus memperluas latihan kepakaran psikiatri di samping mengoptimumkan peranan tenaga kesihatan lain menerusi pendekatan perkongsian tugas atau task shifting.

“Pendekatan ini turut melibatkan lebih 500 pakar perubatan keluarga yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental pada peringkat penjagaan kesihatan primer,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 300 kaunselor di KKM manakala 10,000 berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia di seluruh negara.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 68 hospital KKM dan empat institusi psikiatri turut menyediakan perkhidmatan psikiatri, menjadikan jumlah keseluruhannya 72 fasiliti.

Dzulkefly berkata penglibatan pelbagai kategori petugas kesihatan itu membolehkan masyarakat mendapatkan bantuan dan intervensi awal tanpa hanya bergantung kepada perkhidmatan pakar psikiatri.

Beliau berkata lebih 55,000 penjawat awam dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi berdepan isu kesihatan mental termasuk kecenderungan membunuh diri berdasarkan saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD).

“Tuntutan profesionalisme tidak sepatutnya mengorbankan kewarasan dan kesejahteraan warga kerja kita sendiri,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.