SHAH ALAM, 22 OKT: Golongan belia berusia 16 hingga 29 tahun mencatatkan kadar kemurungan tertinggi di negara ini, antaranya berpunca daripada tekanan akademik, kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial dan kewangan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati prevalen kemurungan bagi penduduk berusia 16 tahun ke atas mencecah 4.6 peratus atau kira-kira sejuta orang.
Menurutnya, kumpulan berusia 16 hingga 19 tahun merekodkan prevalen kemurungan tertinggi iaitu 7.9 peratus, diikuti golongan berumur 20 hingga 29 tahun sebanyak 7.6 peratus.
"Hasil Tinjauan NHMS pada 2022 yang menilai tahap kemurungan ibu selepas bersalin pula mendapati 11.2 peratus mengalami kemurungan yang lebih membimbangkan sembilan daripada 10 ibu ini tidak menyedari masalah kemurungan dialami.
"Golongan ibu mengalami kemurungan lebih ramai adalah dalam kalangan ibu muda dan tinggal di bandar," katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, lapor Berita Harian.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (PAS-Tumpat) berhubung tahap kesejahteraan mental anak muda dan wanita muda serta cadangan menubuhkan pasukan petugas khas rentas kementerian bagi melaksanakan intervensi awal.
Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) berperanan menyelaras dasar kesihatan mental merentas kementerian dan agensi kerajaan, termasuk pengurusan krisis, pembangunan polisi, intervensi serta latihan.
"KKM sentiasa peka dan memantau tahap kesihatan mental rakyat tanpa mengira latar belakang termasuklah dalam kalangan anak muda dan wanita muda.
"Ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling juga berperanan dalam mengenal pasti tanda masalah kesihatan mental dialami anak muda bagi membolehkan intervensi dan rawatan sewajarnya dapat diberi lebih awal," katanya.
Beliau berkata KKM turut menyambut baik cadangan pasukan petugas khas rentas kementerian, selain meneruskan kerjasama sedia ada melalui Program Minda Sihat Sekolah, Program Siswa Sihat, Kem Belia @ Rakan Prihatin, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) serta perkhidmatan rujukan kes daripada KafeTeen.








