SHAH ALAM, 30 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bercadang membangunkan kawasan Ban Canal di Sabak Bernam sebagai destinasi ekopelancongan sepanjang tahun, bukan sekadar lokasi penganjuran karnival tahunan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato' Ts. Saipolyazan M Yusop berkata ia merangkumi penambahbaikan infrastruktur dan kawalan pencemaran bagi memastikan kawasan itu terus menarik pengunjung serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Kita mengharapkan dapat membangunkan kawasan tersebut menjadi kawasan yang semi-permanent ataupun orang boleh enjoy tanpa menunggu setahun sekali.
“Kita cuba menyediakan kawasan tersebut sebagai kawasan yang lebih tetap dengan infrastruktur yang lebih baik dan kita dapat mengawal dari segi pencemaran dan sebagainya,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau berkata pembangunan kawasan Ban Canal akan memberi manfaat kepada penggiat sukan air, termasuk persatuan kanu, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada peniaga tempatan.
“Sambutan yang semakin menggalakkan terhadap Karnival Ban Canal sejak dianjurkan pada 2022 turut membuka peluang untuk menarik minat pihak swasta meneroka potensi perniagaan dan pelaburan di Sabak Bernam.
“Kita melihat ramai mula berhubung dengan MBI sendiri untuk membuka perniagaan mereka di sana seperti food sustainability, food security dan sebagainya,” katanya.
Saipolyazan berkata, perkembangan itu seiring dengan matlamat Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk mengimbangi pembangunan ekonomi antara daerah, khususnya dalam meningkatkan potensi ekonomi di utara Selangor.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama pelbagai pihak dapat mempercepat usaha menyediakan kemudahan lebih sempurna di Ban Canal, termasuk bagi penganjuran karnival pada tahun hadapan.
Karnival Ban Canal 2026 dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 November di Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam, dengan sasaran kehadiran sekurang-kurangnya 38,000 pengunjung.












