SHAH ALAM, 10 OGOS: Program CEO Circle 26 menjadi platform penting memperkukuh jajaran kepimpinan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memastikan matlamat THRIVE28 dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) direalisasikan secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato’ Saipolyazan M Yusop berkata setiap pemimpin perlu memahami keutamaan bersama selain memastikan organisasi masing-masing bergerak dalam hala tuju sama bagi mencapai sasaran ditetapkan.
Menurutnya, THRIVE28 dan RS-2 bukan sekadar pelan di atas kertas, sebaliknya menuntut perubahan dalam cara kepimpinan serta proses membuat keputusan dalam kalangan pemimpin Kumpulan MBI.
“Dalam RS-2, MBI terlibat dengan dua misi utama dan ia menuntut perubahan cara kita memimpin serta membuat keputusan.
“Sebagai CEO atau pemimpin tertinggi dalam syarikat, kita bukan sahaja bertanggungjawab memastikan prestasi syarikat masing-masing, tetapi turut memastikan setiap keutamaan diselaraskan dengan matlamat keseluruhan Kumpulan MBI,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Hotel Saujana Kuala Lumpur, hari ini.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan RS-2 yang merangkumi rancangan hala tuju pembangunan Selangor hingga 2030 melibatkan enam misi utama yang membabitkan 25 bidang bagi menggerakkan 98 inisiatif.
Sebelum ini, Saipolyazan memberitahu MBI menyasarkan pendapatan sehingga RM8 bilion menjelang 2028 melalui pelaksanaan pelan THRIVE28.
Katanya lagi, setiap pemimpin wajib menyelaraskan keutamaan, mempercepatkan proses membuat keputusan serta menterjemahkan setiap perancangan kepada hasil yang menyumbang kepada kejayaan keseluruhan MBI.
“Melalui penjajaran ini, kita mahu memastikan setiap syarikat dalam Kumpulan MBI bergerak dalam satu arah dan memberikan impak yang lebih besar kepada organisasi serta negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MBI turut melaksanakan Penilaian Prestasi Pelaburan (IPR) terhadap semua anak syarikatnya setiap tiga bulan bagi memantau prestasi dan memastikan sasaran ditetapkan dapat dicapai.
“Setakat ini, prestasi IPR berada antara 95 hingga 97 peratus melalui penjajaran yang dilaksanakan dalam kalangan anak syarikat.
“Ini menunjukkan kepentingan penjajaran yang jelas supaya setiap organisasi memahami peranan masing-masing dan memastikan prestasi terus berada pada landasan ditetapkan,” ujarnya.
Saipolyazan memaklumkan usaha memperkukuh prestasi anak syarikat juga penting bagi memaksimumkan hasil sumber negeri supaya dapat membantu Kerajaan Negeri melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk manfaat rakyat.










