RS-2 sasar kecilkan jurang pendapatan antara daerah - MB

13 Ogos 2026, 11:27 AM
RS-2 sasar kecilkan jurang pendapatan antara daerah - MB

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Selangor menyasarkan jurang pendapatan antara daerah dikecilkan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dengan pendapatan median setiap kawasan dipantau secara lebih terperinci.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri lebih seimbang dan memberi manfaat yang lebih adil kepada masyarakat di setiap daerah.

“Sabak Bernam merupakan antara daerah yang mencatat pertumbuhan tertinggi berbanding daerah-daerah lain. Namun kalau kita bandingkan Sabak Bernam dengan Petaling Jaya masih ada perbezaan hampir separuh ataupun satu per dua daripada pendapatan median di daerah tersebut,” katanya.

Bercakap dalam sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini, Amirudin berkata Petaling Jaya kini merekodkan pendapatan median hampir RM12,000, berbanding sekitar RM6,000 di Sabak Bernam.

“Justeru dalam RS-2, saya telah menetapkan usaha untuk kita melihat salah satu misinya adalah untuk mengurangkan jurang di antara daerah-daerah ini,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan meneliti pendapatan median bukan sahaja pada peringkat keseluruhan negeri, tetapi mengikut daerah serta kadar pertumbuhan setiap kawasan.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan peningkatan pendapatan bergerak seiring dengan peningkatan kualiti kehidupan masyarakat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pendapatan median isi rumah Kuala Langat meningkat RM3,633 daripada RM6,950 kepada RM10,583 pada 2024, manakala Hulu Selangor meningkat daripada RM5,855 pada 2019 kepada RM8,485 pada 2024.

“Begitu juga pengalaman rakyat di Sabak Bernam. Meskipun pada 2019, pendapatan mereka direkodkan hanya RM4,454 sebulan, mereka telah menerima peningkatan pendapatan median isi rumah sebanyak RM2,487 sebulan kepada RM6,941 sebulan,” jelasnya.

Beliau berkata pendekatan klusterisasi ekonomi yang diperkenalkan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) turut menjadi asas kepada usaha merangka pertumbuhan negeri supaya lebih seimbang.

“Daripada situlah kita mengilhami satu nilaian-nilaian ekonomi di setiap kawasan. Saya minta pegawai daerah, Yang Dipertua, pihak berkuasa tempatan untuk menggariskan apakah aktiviti di setiap daerah. Dan kemudian kita akan mengikut kawasan-kawasan tertentu,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.