PKNS, PETRONAS Dagangan teroka kerjasama bangunkan stesen perkhidmatan

30 Okt 2026, 9:53 AM
PKNS, PETRONAS Dagangan teroka kerjasama bangunkan stesen perkhidmatan
PKNS, PETRONAS Dagangan teroka kerjasama bangunkan stesen perkhidmatan

SHAH ALAM, 30 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama strategik dalam mengenal pasti potensi tanah milik PKNS di Selangor untuk pembangunan stesen minyak PETRONAS berserta kemudahan perkhidmatan sokongan.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak melalui usaha sama Bahagian Pengurusan Tanah PKNS dan Bahagian Rangkaian Runcit dan Hartanah, Jabatan Runcit Bahan Api PDB dalam mengoptimumkan penggunaan aset tanah PKNS, di samping membuka peluang penerokaan bidang perniagaan baharu yang berpotensi memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua organisasi.

MoU ditandatangani oleh Pengurus Pengurusan Tanah PKNS, Dr. Mohd Hilmi Muda dan Pengurus Besar Jabatan Runcit Bahan Api PDB, Mohd Feiruz Mohd Ghazali, disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS (Usaha Sama Strategik), Ir. Haji Md Kamarzan Md Rais dan Pengurus Kanan Bahagian Rangkaian Runcit dan Hartanah PDB, Mohamed Rafik Rahmat.

Menerusi kerangka kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan penilaian terperinci terhadap lokasi yang berpotensi bagi menentukan kesesuaian serta daya maju cadangan pembangunan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Kerjasama ini turut membuka peluang penglibatan anak-anak syarikat Kumpulan PKNS dalam pelbagai bidang perniagaan, termasuk pengendalian stesen minyak dan perkhidmatan sokongan, pembangunan hartanah, pembinaan dan penyelenggaraan, perkhidmatan keselamatan, insurans, penjenamaan bersama serta perniagaan runcit bukan bahan api. Penglibatan tersebut berpotensi memanfaatkan kepakaran dan keupayaan sedia ada dalam Kumpulan PKNS bagi menyokong pelaksanaan serta operasi kemudahan berkenaan.

Inisiatif ini dijangka dapat menjana peluang perniagaan baharu, memperkukuh sinergi antara anak-anak syarikat Kumpulan PKNS serta meningkatkan kemudahan perkhidmatan untuk komuniti setempat. Pada masa yang sama, kerjasama bersama PDB ini mencerminkan komitmen PKNS dalam memanfaatkan aset secara strategik bagi menyokong pertumbuhan sosioekonomi dan pembangunan negeri Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.