SHAH ALAM, 12 OKT: Projek pembangunan bercampur SA Sentral bernilai RM3 bilion berpotensi menghidupkan semula pusat bandar Shah Alam dengan menghubungkan aset utama bandar, menarik lebih ramai pengunjung dan merancakkan aktiviti ekonomi.
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, pembangunan seluas 145 ekar itu mampu mewujudkan ekosistem bandar baharu yang menggabungkan kediaman, ruang komersial, peruncitan, konvensyen dan kawasan awam.
Menurutnya, pendekatan pembangunan berorientasikan transit (TOD) menjadi antara kekuatan utama projek itu dalam mengubah fungsi pusat bandar Shah Alam yang ketika ini lebih tertumpu kepada urusan pentadbiran.
“SA Sentral berpotensi mengubah fungsi pusat bandar Shah Alam daripada sekadar pusat pentadbiran kepada pusat bandar yang benar-benar hidup sepanjang hari,” katanya kepada Media Selangor.
Antara komponen utama yang menyokong pendekatan TOD ialah Linkar52, pembangunan bercampur yang merangkumi ruang kediaman dan peruncitan, kira-kira 50 meter dari Stesen LRT Dato’ Menteri. SA Sentral turut menampilkan Aneka Walk, laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 300 meter yang menghubungkan kawasan utama pembangunan itu serta menyediakan ruang untuk aktiviti peruncitan, makanan, kebudayaan dan acara.
Daaniyall menjelaskan kedua-dua pembangunan itu menjadi asas untuk meningkatkan kesalinghubungan dan aktiviti di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, kejayaan SA Sentral perlu dinilai berdasarkan peningkatan jumlah pengunjung, tempoh mereka berada di kawasan itu, perbelanjaan setempat serta aktiviti selepas waktu pejabat.
Penggabungan kediaman, pejabat, premis peruncitan, hotel dan pengangkutan awam juga berpotensi mewujudkan hab ekonomi baharu. Setiap komponen mampu menjana permintaan terhadap komponen lain, sekali gus membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ekonomi kreatif serta penyedia perkhidmatan tempatan.
Bagi memastikan pusat bandar Shah Alam terus aktif sepanjang hari, Daaniyall berkata SA Sentral perlu menawarkan aktiviti secara konsisten untuk membangunkan ekonomi malam, bukan hanya bergantung pada premis makanan dan minuman.
Beliau mencadangkan penganjuran acara sepanjang tahun serta pembentukan identiti tersendiri seperti Daerah Seni, Budaya dan Kreatif Shah Alam. Hubungan pengangkutan dari stesen atau hentian ke destinasi akhir juga perlu ditambah baik menerusi kemudahan seperti laluan pejalan kaki berbumbung, bas pengantara, mobiliti mikro dan integrasi dengan perkhidmatan LRT.
“SA Sentral memerlukan program aktiviti yang konsisten seperti persembahan seni, pasar malam premium, festival makanan, aktiviti keluarga, seni jalanan, persembahan terbuka dan acara bermusim,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembangunan bercampur itu mampu menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang lebih luas dengan menghubungkan aset sedia ada di Shah Alam dan menarik lebih ramai pengunjung.
“Nilai RM3 bilion itu ialah nilai pembangunan, manakala nilai ekonomi sebenar boleh menjadi lebih besar apabila aktiviti ini menghasilkan kesan pengganda kepada ekonomi tempatan, khususnya dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat Selangor,” katanya.
Menurutnya, SA Sentral perlu dilihat sebagai usaha menghidupkan semula kawasan bandar dan bukannya sekadar pembinaan bangunan baharu. Peningkatan aktiviti di kawasan itu berpotensi memberi manfaat kepada sektor makanan dan minuman, peruncitan, hotel, e-hailing, acara, hiburan, usahawan tempatan serta PKS.
“Persoalannya ialah bagaimana kita menghubungkan aset ini supaya pusat bandar mempunyai lebih banyak aktiviti dan menerima kunjungan orang ramai sepanjang hari,” katanya.
Beliau turut berpandangan Pusat Perdagangan Antarabangsa Selangor (SITC) mampu meningkatkan impak ekonomi SA Sentral dengan menarik penganjuran persidangan, pameran perdagangan dan acara perniagaan.
Pengunjung yang menghadiri acara itu akan mewujudkan permintaan terhadap penginapan, makanan, beli-belah dan perkhidmatan tempatan, sekali gus meluaskan manfaat ekonomi melangkaui pusat konvensyen.
Bagi menjadikan SA Sentral sebagai destinasi selepas waktu pejabat, Mohd Afzanizam berkata ekonomi malam di kawasan itu perlu mesra keluarga dengan sokongan restoran, kafe, pasar malam berkualiti, persembahan kebudayaan, pasar hujung minggu, festival makanan dan aktiviti keluarga.
“Kawasan itu juga perlu mesra pejalan kaki, mempunyai pencahayaan yang baik, selamat dan berbumbung, dengan tarikan yang dihubungkan secara mudah antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut mencadangkan SA Sentral membangunkan tarikan tersendiri bagi membentuk identiti Shah Alam yang mudah dikenali, termasuk meneroka potensi ekosistem pendidikan bandar itu untuk membangunkan bidang khusus dalam teknologi dan keusahawanan.
SA Sentral ialah projek pembangunan bandar oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan nilai pembangunan dianggarkan RM3 bilion dan dijadualkan siap menjelang 2031.
Projek itu dilancarkan secara rasmi pada September 2024 bagi menghidupkan semula pusat bandar Shah Alam sebagai hab perniagaan dan gaya hidup menerusi pembangunan bercampur serta penambahbaikan kesalinghubungan pengangkutan awam.
Pembangunan itu bakal merangkumi ruang komersial, kemudahan komuniti, kawasan rekreasi dan rangkaian pengangkutan awam dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
Ketua Pegawai Eksekutif (bakal dilantik) SA Sentral, Datuk Mohd Najib Ibrahim sebelum ini menjelaskan projek itu bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya platform untuk membentuk masa depan Shah Alam sebagai bandar yang lebih berdaya saing, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran pembandaran pada masa dep








