SHAH ALAM, 20 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus membangunkan rumah kos rendah dan tidak hanya memberi tumpuan kepada projek perumahan bernilai tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Dato’ Mahmud Abbas berkata pendekatan itu selaras dengan matlamat penubuhan agensi berkenaan sejak 62 tahun lalu untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.
Katanya, penyediaan rumah kos rendah menjadi antara usaha PKNS ketika pembangunan Petaling Jaya, Shah Alam dan Bangi sejak di peringkat awal bagi membolehkan masyarakat dari luar bandar menetap di kawasan bandar.

“Apabila PKNS ditubuhkan 62 tahun lalu, kita ada satu akta yang menetapkan mandat dan tujuan penubuhan agensi ini. Akta itu tidak secara khusus menyebut mengenai pembinaan rumah kos rendah, walaupun PKNS memang melaksanakannya.
“Pada ketika itu, kawasan seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Bangi masih belum berkembang seperti hari ini. Kita mahu membawa masyarakat dari kampung untuk menetap di bandar, tetapi tidak mungkin kita membina rumah berharga RM200,000 atau RM300,000 kerana belum ramai yang mampu.
“Jadi, PKNS mengambil peluang itu untuk membina rumah kos rendah yang kemudiannya dikenali sebagai flat-flat PKNS. Ini selaras dengan mandat kita untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Temasya Aneka, program yang menyediakan 18 acara kendalian KRU Entertainment, di sini malam tadi.

Mahmud berkata PKNS masih membina rumah kos rendah pada masa ini, meskipun projek perumahan bernilai tinggi lebih menonjol dan mendapat perhatian masyarakat.
Katanya, keuntungan daripada pembangunan perumahan bernilai tinggi membantu PKNS menampung kos penyediaan rumah kos rendah.
“Pada masa sekarang, kita masih membina rumah kos rendah, tetapi yang lebih menonjol ialah projek perumahan bernilai tinggi. Keuntungan daripada pembangunan rumah bernilai tinggi ini membantu kita membiayai pembinaan rumah kos rendah.
“Setiap unit rumah kos rendah yang kita bina memerlukan subsidi RM50,000. Jadi, subsidi itu ditampung daripada keuntungan yang kita jana melalui pembangunan kita,” katanya.
Menurut Mahmud, usaha meningkatkan sosioekonomi masyarakat bukan hanya melalui penyediaan kediaman, malah turut merangkumi peluang untuk mereka menjana pendapatan dan membangunkan perniagaan.
“Pada pendapat saya, kita masih lagi perlu membina rumah kos rendah, tetapi pada masa sama kita perlu terus meningkatkan sosioekonomi masyarakat. Dengan adanya tempat seperti Aneka Walk, kita menyediakan suasana yang membolehkan orang berniaga dan membangunkan usahawan,” katanya.
Beliau berkata peningkatan taraf sosioekonomi akan membolehkan masyarakat menikmati kehidupan yang lebih selesa, termasuk memiliki kediaman yang lebih baik serta menyediakan pendidikan untuk anak-anak.







