Selangor bawa usahawan PKS ke China, Jepun perluas pasaran eksport

20 Ogos 2026, 8:13 AM
Selangor bawa usahawan PKS ke China, Jepun perluas pasaran eksport
Selangor bawa usahawan PKS ke China, Jepun perluas pasaran eksport
Selangor bawa usahawan PKS ke China, Jepun perluas pasaran eksport
Selangor bawa usahawan PKS ke China, Jepun perluas pasaran eksport
Selangor bawa usahawan PKS ke China, Jepun perluas pasaran eksport

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri akan membawa pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke China dan Jepun pada September atau Oktober bagi memperluas peluang pemasaran serta eksport produk mereka.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata program itu melibatkan usahawan yang mempunyai produk berkualiti dan berpotensi dipasarkan ke luar negara.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memanfaatkan jaringan antarabangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi membantu usahawan tempatan menembusi pasaran bernilai lebih tinggi.

“Kita sudah mempunyai kisah kejayaan menerusi program seumpama ini termasuk usahawan Selangor yang berjaya menjual produk minyak wangi mereka ke hotel dan premis peruncitan di Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program BizMatch Mega PKNS hari ini.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap merasmikan Program Bizmatch Mega PKNS di SITC, Shah Alam pada 20 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mohd Najwan berkata usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan turut dilaksanakan menerusi padanan perniagaan, latihan, bimbingan serta kursus oleh Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS.

Pada masa sama, BizMatch Mega membuka peluang kepada lebih 1,000 usahawan Selangor bertemu wakil agensi kerajaan, bank, pembiaya serta agensi Persekutuan antaranya SME Corp dan MARA.

“Program yang dilaksanakan PKNS sejak 2023 membolehkan usahawan meneroka pembiayaan, insentif dan geran yang tersedia tanpa perlu pergi kepada setiap agensi secara berasingan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut mempertimbang untuk menghidupkan semula program keusahawanan di peringkat daerah selepas pendekatan lebih berpusat dilaksanakan tahun ini susulan beberapa program utama yang sudah diadakan.

Mengulas penjenamaan semula Shah Alam Convention Centre (SACC) kepada Selangor International Trade Centre (SITC), beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen PKNS untuk meletakkan Shah Alam sebagai hab perniagaan dan perdagangan global yang mampu menarik lebih ramai usahawan, syarikat serta pelabur luar negara.

Usahawan mendapatkan maklumat di reruai yang disediakan ketika Program Bizmatch Mega PKNS di SITC, Shah Alam pada 20 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.