Pendedahan AI di sekolah rendah perlu dikawal, elak jejas pemikiran kritis

30 Okt 2026, 2:00 AM
Pendedahan AI di sekolah rendah perlu dikawal, elak jejas pemikiran kritis

SHAH ALAM, 30 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memastikan pengenalan kecerdasan buatan (AI) di sekolah rendah tidak menjejaskan keupayaan murid berfikir secara kritis.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata perkara membimbangkan ialah murid terlalu bergantung kepada AI untuk mendapatkan jawapan tanpa berusaha memahami sesuatu perkara atau menyelesaikan masalah itu sendiri.

“Kebergantungan itu boleh menyebabkan murid kurang menggunakan pemikiran sendiri untuk jawab soalan asas. Dia (murid) tak tahu, dia tanya AI.

“Sebagai contoh, kalau soalan lima tambah lima pun terus bertanya kepada AI, itu boleh menjadi masalah. Terlalu bergantung itu yang berisiko kerana murid mungkin tidak lagi mahu berfikir secara kritis untuk belajar,” katanya kepada Media Selangor.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata asas AI akan diperkenalkan dalam mata pelajaran teknologi digital di sekolah rendah mulai kurikulum persekolahan 2027. Pembelajaran AI turut diperkukuh dalam mata pelajaran berkaitan di peringkat sekolah menengah.

Justeru, Siraj berkata MCCA menyokong pengenalan asas AI namun pelaksanaannya perlu disertai bimbingan yang sesuai supaya teknologi tersebut membantu pembelajaran tanpa menggantikan proses berfikir.

Beliau berpandangan murid mungkin lebih cenderung merujuk AI berbanding guru sekiranya menganggap teknologi itu lebih pintar atau mampu memberikan jawapan dengan lebih pantas.

“Pendidikan bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya turut merangkumi peranan guru dalam membimbing murid, membentuk pemikiran dan mendidik mereka.

“Kita belajar dengan bertanya kepada guru bukan semata-mata kerana ilmu yang diberikan, tetapi juga kerana adanya guru yang mendidik,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendidikan AI perlu mengutamakan pembentukan pemikiran kritis dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, bukan sekadar memastikan murid mahir menggunakannya.

“Kita menyokong pengenalan literasi AI, tetapi pelaksanaannya perlu meletakkan elemen keselamatan dan pemikiran kritis sebagai keutamaan, bukan hanya teruja melihat murid pandai menggunakan AI,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.