SHAH ALAM, 25 OKT: Kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu pengguna mengesan aktiviti kewangan mencurigakan, menerima peringatan tepat pada masanya dan membuat keputusan kewangan yang lebih baik.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kewangan perlu mengutamakan keperluan pengguna bagi membantu mereka memahami pilihan serta risiko yang terlibat.
“Dalam hal ini, AI juga berpotensi memudahkan penyampaian maklumat, mengesan aktiviti luar biasa dan memberikan peringatan pada waktu yang tepat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 di Central i-City, semalam.
Menurutnya, pemahaman terhadap cara pengguna membuat keputusan kewangan dapat membantu institusi kewangan menyediakan perkhidmatan yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan teknologi tidak seharusnya menggantikan pertimbangan pengguna, sebaliknya membantu mereka memahami implikasi setiap pilihan kewangan.
“Sebaliknya, teknologi perlu membantu pengguna memahami implikasi setiap pilihan, melindungi data peribadi serta memastikan sokongan tetap tersedia,” katanya.
Beliau berkata kemajuan teknologi menjadikan transaksi kewangan semakin mudah dan pantas, namun institusi kewangan serta pengguna perlu bersama-sama memastikan kemudahan itu dimanfaatkan secara selamat dan bertanggungjawab.
Justeru, perlindungan kewangan yang berkesan memerlukan kewaspadaan pengguna seiring usaha institusi kewangan memperkukuh langkah keselamatan, termasuk bagi perbankan dalam talian.
Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan kewangan yang bijak, selain meneruskan kerjasama pelbagai pihak yang membantu memperluas pendidikan kewangan kepada lebih banyak lapisan masyarakat sepanjang sedekad lalu.
Abdul Rasheed berkata usaha itu perlu terus diperkukuh bagi membantu rakyat membuat keputusan kewangan yang lebih baik, mendapatkan perlindungan sewajarnya dan meningkatkan daya tahan dalam menghadapi cabaran kewangan.







