KPM digesa utamakan teknologi AI tempatan, lindungi data murid

29 Okt 2026, 1:00 PM
KPM digesa utamakan teknologi AI tempatan, lindungi data murid

SHAH ALAM, 30 OKT: Teknologi kecerdasan buatan (AI) tempatan perlu diutamakan dalam pelaksanaan pendidikan AI di sekolah rendah mulai tahun depan bagi melindungi data murid, gesa Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA).

Presidennya, Siraj Jalil berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperincikan pemilihan teknologi tersebut bagi memastikan maklumat murid terpelihara sepanjang proses pembelajaran.

Menurutnya, teknologi AI berbeza daripada kaedah pembelajaran konvensional kerana melibatkan pemprosesan data, termasuk maklumat yang dimasukkan pengguna ketika berinteraksi dengan aplikasi itu.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil

“AI ini teknologi yang sangat berkait dengan data. Jadi, apabila murid menggunakannya untuk belajar, data mereka perlu dipelihara dan diuruskan dengan baik. Persoalannya, siapa yang membekalkan teknologi atau alat bantuan pembelajaran AI kepada murid?

“Kita berharap teknologi yang digunakan itu dibangunkan syarikat tempatan. Kita tidak mahu bergantung sepenuhnya pada teknologi luar negara kerana data dan maklumat kanak-kanak sangat bernilai serta perlu dilindungi,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata murid sekolah rendah akan mula mempelajari asas AI menerusi mata pelajaran teknologi digital dalam kurikulum persekolahan baharu mulai 2027.

Beliau berkata pembelajaran AI turut diperkukuh dalam mata pelajaran berkaitan di peringkat sekolah menengah.

Mengulas lanjut, Siraj berkata KPM perlu memperjelas teknologi yang bakal digunakan serta memastikan aspek keselamatan siber diberikan perhatian sebelum pelaksanaan pendidikan AI diperluas kepada murid.

Tambahnya, Malaysia mempunyai potensi untuk membangunkan teknologi AI sendiri dan tidak seharusnya hanya bergantung pada penyelesaian yang dibangunkan pihak luar.

Bagaimanapun, beliau berkata MCCA menyambut baik pengenalan asas AI dalam pendidikan sekolah rendah, namun menegaskan pelaksanaannya perlu disertai perancangan keselamatan dan tadbir urus yang jelas.

“Pendidikan AI bukan sekadar soal etika dan cara menggunakan teknologi dengan betul. Sistem yang digunakan juga perlu ditadbir urus dengan baik.

“Kita perlu meneliti risiko dan ancaman keselamatan sejak awal supaya tidak timbul masalah yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.